[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
GADGETS

Tentera AS uji penghantaran kargo gunakan roket

Amanz 26/03/2025 | 05:30 MYT
USAF berharap sistem roket ini dapat menghantar kargo ke mana-mana titik di bumi dalam masa sejam, menggunakan kapal angkasa Starship daripada SpaceX. -Amanz
Amerika Syarikat (AS) mempunyai belanjawan ketenteraan tertinggi di dunia. Ini membolehkan mereka melantik diri sendiri sebagai polis dunia menerusi markas yang terletak di seluruh dunia.

Ringkasan AI
  • USAF bersedia menguji sistem roket membawa kargo di bawah program Rocket Cargo Vanguard, dengan dua platform pendaratan dibina di Pulau Johnston.
  • USAF berharap sistem roket ini dapat menghantar kargo ke mana-mana titik di bumi dalam masa sejam, menggunakan kapal angkasa Starship daripada SpaceX.
  • SpaceX telah diberikan kontrak bernilai $102 juta pada tahun 2022 untuk merealisasikan impian ini, dengan Starship direka untuk menghantar angkasawan ke bulan, Marikh, dan pengangkutan penumpang ultra-pantas.

Ini mewujudkan masalah logistik bekalan yang perlu dihantar dengan pantas apabila diperlukan.
Konflik di Asia, misalnya, masih akan memerlukan pesawat kargo terbang berpuluh jam sebelum tiba ke destinasi. Oleh itu, sistem penghantaran kargo menggunakan roket telah mula dibincangkan sejak lima dekad yang lalu.
Terkini, dokumen daripada Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) mendedahkan mereka kini bersedia untuk menguji sistem roket membawa kargo di bawah program Rocket Cargo Vanguard.
Dua platform pendaratan akan dibina di Pulau Johnston yang terletak berhampiran Hawaii. Apabila siap kelak, roket kargo akan diuji menggunakan fasiliti ini bagi melihat sama ada ia praktikal digunakan di dunia sebenar.
USAF pernah menyatakan hasrat membeli kapal angkasa Starship daripada SpaceX untuk kegunaan sendiri bagi menghantar kargo ke mana-mana titik di permukaan bumi dalam masa sejam.
Di masa hadapan, USAF berharap sekiranya konflik berlaku, perkakasan dan bekalan penting boleh dihantar dengan pantas menggunakan sistem roket ini.
Setiap roket menyasarkan kapasiti kargo 82 tan, sama seperti yang mampu dibawa oleh pesawat Boeing C-17 Globemaster III yang digunakan sekarang.
USAF tidak akan membina sistem baharu tetapi sebaliknya menggunakan sistem Starship buatan SpaceX. SpaceX telah diberikan kontrak bernilai $102 juta (~RM531 juta) pada tahun 2022 bagi merealisasikan impian ini.
Starship direka untuk menghantar angkasawan ke bulan, Marikh, dan pengangkutan penumpang ultra-pantas. Dengan perubahan ruang kargo, Starship dipercayai boleh digunakan untuk tujuan pengangkutan. -Amanz
#SpaceX #sistem roket membawa kargo #Rocket Cargo Vanguard #USAF