Terbuka AS: Coco Gauff ulangi pencapaian Serena Williams

Astro Arena
September 6, 2023 11:40 MYT
Pemain berusia 19 tahun itu hanya tercicir dua mata ketika menewaskan Jelena Ostapenko 6-0, 6-2 dalam pertemuan di Stadium Arthur Ashe. - Foto AP
COCO Gauff menjadi pemain remaja Amerika Syarikat (AS) pertama sejak Serena Williams melakukannya pada 2001 untuk mara ke separuh akhir Terbuka Amerika Syarikat (AS), awal pagi tadi.
Pemain berusia 19 tahun itu hanya tercicir dua mata ketika menewaskan Jelena Ostapenko 6-0, 6-2 dalam pertemuan di Stadium Arthur Ashe.
Latvia Ostapenko, pilihan ke-20, mencuri perhatian dengan menumbangkan juara bertahan dan pemain nombor satu dunia, Iga Swiatek, dalam pusingan empat.
Tetapi kali ini dia gagal menjelmakan prestasi serupa yang menyaksikan Gauff menamatkan set pertama dalam tempoh 20 minit.
Ostapenko cub amemberi cabaran lebih sengit dalam set seterusnya untuk mematahkan servis lawannya dalam percubaan kelima.
Begitupun, Gauff menyempurnakan permainannya dalam masa 1 jam 8 minit untuk mara ke separuh akhir grand slam di tempat sendiri buat julung kalinya.
"Rasanya hebat, saya sangat gembira," katanya.
“Tahun lalu saya terkandas di peringkat suku akhir jadi saya mahu melakukan yang lebih baik. Perjalanan masih jauh tetapi saya gembira dan bersedia untuk kembali beraksi.
“Sejujurnya, saya tidak berasa selesa sepanjang perlawanan walaupun ketika mata akhir perlawanan.
"Saya mengenali corak permainannya. Ia benar-benar sukar untuk dihadapi kerana saya tidak bertindak agresif. Dia salah seorang pemain terbaik dan dia mengharungi kejohanan yang hebat.
"Ada pepatah dalam bola keranjang mengatakan bahawa 'pertahanan yang memenangi permainan'. Ia tidak selalunya berkesan dalam tenis tetapi hari ini itulah yang berlaku.” - Stadium Astro
#Coco Gauff #Terbuka AS #Serena Williams #Stadium Arthur Ashe
;