DUNGUN: Sebuah kolej al-Quran bernilai RM370 juta akan dibina di Terengganu dalam merintis jalan ke arah mewujudkan sebuah hub pendidikan Islam terunggul negara.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pembinaan Kolej Al-Quran Terengganu (KQT) di kawasan seluas 121 hektar di Durian Mentangau dekat sini, dijangka akan dimulakan tahun hadapan selepas semua urusan tender oleh pihak berkaitan selesai.

Beliau berkata kolej berkenaan dijangka mengambil masa dua tahun untuk disiapkan, dan mengikut perancangan, fasa pertama pengambilan akan melibatkan seramai 1,000 pelajar.

"Pembinaan kampus itu bertujuan mewujudkan kembali institusi pengajian tinggi (IPT) Islam milik kerajaan negeri sebagai ganti kepada Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) yang menjadi kebanggaan negeri suatu masa dahulu.

"Kita juga sedang dalam proses permohonan kepada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) untuk menaik taraf KQT kepada kolej universiti," katanya selepas Majlis Pecah Tanah Kampus Tetap KQT dan Bandar Baharu Lestari Durian Mentangau dekat sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Datuk Satipul Bahri Mamat.

Difahamkan kolej berkenaan dijangka dapat menampung sehingga 3,000 pelajar setelah ia siap sepenuhnya kelak.

-- BERNAMA