MALAYSIA

Terengganu dilanda banjir gelombang ketiga

Bernama 26/12/2025 | 13:37 MYT
Beberapa laluan utama di sekitar bandar raya ini ditutup akibat banjir kilat susulan hujan lebat berterusan sejak awal pagi. - Bernama
KUALA TERENGGANU: Terengganu dilanda banjir gelombang ketiga apabila 103 mangsa daripada 24 keluarga di tiga daerah dipindahkan ke tiga pusat pemindahan sementara (PPS) pada petang tadi.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, Kuala Terengganu merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 61 orang daripada 14 keluarga yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Chendering, manakala di Dungun 13 mangsa daripada dua keluarga berlindung di PPS Dewan Sivik Kampung Seberang Pintasan, yang masing-masing dibuka 3 petang tadi.

"Sebanyak 29 orang daripada lapan keluarga di Kuala Nerus pula berpindah ke SK Kompleks Mengabang Telipot yang dibuka 5 petang tadi susulan hujan lebat berterusan sejak awal pagi," menurut sekretariat itu.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata beberapa laluan utama di sekitar bandar raya Kuala Terengganu ditutup akibat dilanda banjir kilat.

Beliau berkata ia termasuk Jalan Sultan Omar, Jalan Kamaruddin, Jalan Sultan Ismail menghala ke Bulatan Ladang serta Jalan Kamarudin menghala ke Pengadang Akar.

Dalam pada itu, berdasarkan https://publicinfobanjir.water.gov.my/ paras air sungai di dua stesen iaitu Sungai Telemong di Kuala Ping (F1) dan Sungai Tersat di Sekayu (F1), Hulu Terengganu telah melebihi tahap amaran.

Sehubungan itu, orang ramai di kawasan berhampiran dinasihatkan berjaga-jaga dan peka dengan arahan pihak berkuasa.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada dijangka melanda empat negeri iaitu di seluruh Terengganu dan Kelantan melibatkan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok, Machang serta Pasir Puteh dari 25 hingga 28 Dis ini.

Keadaan sama dijangka melanda Pahang (Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin) serta Johor (Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi) dari 26 hingga 29 Dis.

-- BERNAMA


#terengganu #banjir #gelimbang ketiga #PPS #mangsa banjir #JPBN