Terengganu rekod 662 kes jenayah komersial

Bernama
Julai 27, 2022 02:30 MYT
Rohaimi menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada dan berhati-hati bagi mengelak ditipu sindiket yang menggunakan pelbagai modus operandi untuk memperdaya mangsa. - Gambar fail
KUALA TERENGGANU: Sebanyak 662 kes jenayah komersial dilaporkan di seluruh negeri bermula Januari hingga Jun tahun ini, kata Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa.
Menurut Rohaimi jenayah penipuan dalam talian menyumbang kepada bilangan kes tertinggi iaitu Macau Scam, sebanyak 143 kes.
"Terdapat peningkatan kes apabila sebanyak 662 kes dilaporkan dalam tempoh enam bulan tahun ini berbanding 582 kes sepanjang tahun lepas," katanya dalam ucapan yang dibacakan oleh Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (KJPKK) ACP Noor Halim Nordin.
Beliau berucap demikian pada Majlis Pelancaran Kempen Anti-Scam Polis Diraja Malaysia (PDRM) Peringkat Kontinjen Negeri Terengganu di sini, petang semalam.
Sehubungan itu, Rohaimi menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada dan berhati-hati bagi mengelak ditipu sindiket yang menggunakan pelbagai modus operandi untuk memperdaya mangsa.
"Menerusi kempen anti-scam kali ini, pelbagai taktik terbaharu sindiket penipuan didedahkan kepada masyarakat bagi memastikan orang ramai lebih berwaspada," katanya.
-- BERNAMA
#Macau Scam #penipuan dalam talian #Rohaimi Md Isa #Polis Terengganu