KUALA TERENGGANU: Pakaian patuh syariah tidak tertakluk kepada atlet bukan Islam di negeri ini sebaliknya garis panduan tersebut hanya melibatkan atlet Muslim.

Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Karim turut menjelaskan pihaknya tidak pernah menghalang atlet gimnastik dan gimrama bukan Islam untuk menyertai mana-mana kejohanan termasuk Sukan Malaysia (Sukma).

Menurutnya, jika ada dalam kalangan atlet bukan Islam yang mampu bersaing pada Sukma maka persatuan terlibat boleh memohon untuk menghantar peserta pada kejohanan sukan tersebut.

"Kita dah katakan sejak awal lagi pakaian patuh syariah itu hanya terikat pada atlet beragama Islam. Sekiranya ada atlet bukan Islam nak masuk (bertanding) boleh bagi tahu pada persatuan untuk sertai (kejohanan).

"Kita benarkan dan tiada masalah (sertai kejohanan). Kita tak boleh paksa orang bukan Islam untuk tutup (patuh pakaian syariah)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas kritikan berhubung tindakan kerajaan Terengganu mengenai pematuhan pakaian tidak patuh syariah kepada atlet wanita di negeri ini.

Mengulas lanjut, Hishamuddin berkata, pihaknya tidak mahu hanya menghantar atlet yang sekadar pelengkap penyertaan semata-mata dalam sukan seperti gimnastik dan renang.

"Kalau boleh atlet bukan Islam yang sertai sukan tersebut benar-benar berbakat dan meraih pingat buat negeri Terengganu," katanya.

Pada Rabu lepas, Hishamuddin menyatakan garis panduan pemakaian sukan patuh syariah melibatkan atlet sukan negeri tidak dapat dikuatkuasakan sepenuhnya susulan terikat dengan peraturan sukan antarabangsa.

Beliau berkata, kerajaan negeri sebelum ini telah memperkenalkan Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri pada Mac 2020 yang mengandungi etika serta standard pakaian melibatkan atlet dan jurulatih Muslim.

Bagaimanapun, Hishamuddin berkata, konsep patuh syariah berkenaan terpaksa diubah suai kepada pendekatan mesra syariah yang lebih berhemah selain bersifat mendidik. - Sinar Harian