KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu hari ini memperuntukkan sejumlah RM1.860 bilion bagi Belanjawan 2024 negeri itu dengan anggaran defisit sebanyak RM131 juta berbanding belanjawan sebelum ini.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata bertemakan 'Meneraju Era Baharu Terengganu', belanjawan itu termasuk RM500 juta caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan.

"Di bawah Perbelanjaan Mengurus, sebanyak RM84.77 juta diperuntukkan bagi Perbelanjaan Tanggungan dan RM1.775 bilion bagi Perbelanjaan Bekalan iaitu sebanyak RM278.30 juta untuk Emolumen, RM251.48 juta (Perkhidmatan Bekalan); RM23.86 juta (Aset); RM1.220 bilion (Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap); dan RM1 juta (Perbelanjaan Lain)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan belanjawan itu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Ahmad Samsuri berkata bagi Perbelanjaan Pembangunan, ia meliputi RM425.19 juta untuk sektor sosial, RM44.10 juta (sektor pentadbiran); dan RM30.71 juta (sektor ekonomi).

Beliau berkata anggaran hasil negeri pada 2024 dijangka diperoleh sebanyak RM1.860 bilion menerusi hasil cukai berjumlah RM80.06 juta, hasil bukan cukai sebanyak RM169.01 bilion dan terimaan bukan hasil termasuk Dana Khas Kerajaan Persekutuan iaitu hasil petroleum sebanyak RM1.610 bilion.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang itu turut menggariskan 10 strategi utama untuk diusahakan tahun hadapan, antaranya memastikan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kekal mengembang antara 3.5 peratus hingga 4.1 peratus.

Ahmad Samsuri berkata usaha untuk menambah baik infrastruktur di kesemua 28 kawasan perindustrian dan mengeksploitasi kelebihan di kawasan sempadan negeri dan stesen Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) perlu dipergiat, agar jumlah dan imbangan dagangan dapat ditingkatkan sehingga tujuh peratus.

"Industri pelancongan perlu diperkasakan dengan kepelbagaian produk, ketersediaan kemudahan dan pemuliharaan pelbagai sumber untuk menarik 13.2 juta pelawat domestik termasuk 4.5 juta pelancong, meningkat hingga 30 peratus berbanding tahun lalu," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan akan menubuhkan Majlis Ekonomi Digital dan Pendigitalan Negeri Terengganu untuk memacu penggubalan, pelaksanaan dan pemantauan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Terengganu.

Tidak memperincikan jumlah peruntukan bagi setiap inisiatif yang ingin dilaksanakan menerusi belanjawan itu, Ahmad Samsuri berkata pendekatan itu dibuat setelah mengambil kira kedudukannya sebagai calon dalam Plihan Raya Kecil (PRK) Kemaman bagi memastikan tidak timbul sebarang isu kelak.

-- BERNAMA