Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya Hannah Yeoh diumumkan sebagai Speaker DUN Selangor yang baru manakala Nik Nazmi Nik Ahmad sebagai timbalannya.

Hannah melalui satu kenyataan medianya hari ini memberitahu beliau terharu atas pengumuman yang memilih beliau sebagai Speaker DUN Selangor.

“Pakatan Rakyat (PR) sekali lagi mencipta sejarah mencalonkan wanita sebagai speaker di Malaysia. Saya akan dipilih secara rasmi sebagai speaker sebaik DUN bersidang.

“Saya juga berasa bangga kerana PR membuktikan komitmen dalam kesaksamaan gender dan mempromosikan wanita mengepalai perkhidmatan awam,” jelas Hannah.

Ibu kepada dua cahaya mata itu turut mengucapkan tahniah atas pelantikan Nik Nazmi selaku timbalan kepada Speaker DUN Selangor.

“Dengan pelantikan kami yang kedua-duanya berusia di bawah 35 tahun, PR menunjukkan keyakinan dan kepercayaan terhadap generasi muda dalam memainkan peranan utama menyuburkan demokrasi di Malaysia.

“Kami berjanji untuk mengembangkan idealisme dan dinamik generasi muda serta menjana kebijaksanaan dan pengalaman generasi ini,” tambah Hannah.

Hannah Yeoh Tseow Suan, 34, merupakan ADUN Subang Jaya sejak tahun 2008. Pada Pilihan Raya Umum ke-12, Hannah yang mewakili DAP menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Ong Choong Suan dengan majoriti 13,851 undi.

Manakala, PRU-13 meyaksikan Hannah menewaskan calon BN Gan Meng Foo dengan majoriti 28,069 undi.

Speaker DUN Selangor itu merupakan siswazah Universiti Tasmania dalam jurusan undang-undang. Beliau mendirikan rumah tangga bersama M. Ramachandran yang merupakan seorang usahawan dalam bidang teknologi maklumat.