MALAYSIA
Terima kasih Perdana Menteri beri Kelantan lebih RM6.6 juta - MB

Mohd Nassuruddin (dua, kiri) merakamkan ucapan terima kasih kepada Anwar (dua, kanan) yang meluluskan peruntukan lebih RM6.6 juta untuk kerja-kerja membaik pulih cerun runtuh di LRA Bukit Remah, Tanah Merah.
KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meluluskan peruntukan lebih RM6.6 juta untuk kerja-kerja membaik pulih cerun runtuh di Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Remah, Tanah Merah di sini.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri meluluskan peruntukan lebih RM6.6 juta bagi membaik pulih cerun runtuh di Loji Rawatan Air Bukit Remah, Tanah Merah, yang disambut baik oleh Menteri Besar Kelantan sebagai langkah penting demi kepentingan rakyat.
- Kerajaan negeri turut meluluskan RM235,000 untuk dua kajian teknikal oleh JKR, dan tindakan pantas ini mendapat maklum balas positif daripada kerajaan Persekutuan yang bersetuju menyalurkan dana.
- Insiden cerun runtuh akibat hujan lebat menyebabkan paip air pecah dan menjejaskan bekalan kepada lebih 13,000 akaun pengguna, memaksa LRA dihenti tugas serta-merta.
"Kerajaan negeri telah bertindak pantas mengemukakan permohonan kepada Putrajaya bagi menangani insiden cerun runtuh, susulan hujan berterusan yang menyebabkan pergerakan tanah sepanjang 130 meter dan mengakibatkan kerosakan struktur ‘sheet pile’ di LRA tersebut," katanya menerusi satu hantaran di laman sosial Facebook miliknya pada Isnin malam.
Mohd Nassuruddin memberitahu, selain itu pihaknya meluluskan peruntukan keseluruhan berjumlah RM235,000 bagi pelaksanaan dua kajian oleh Jabatan Kerja Raya iaitu Kajian Siasatan Tanah dan Kajian Ukur Terperinci di tapak LRA berkenaan.
“Inisiatif tersebut mendapat maklum balas positif apabila kerajaan Persekutuan bersetuju menyalurkan peruntukan,” katanya.
Media tempatan pada 28 November tahun lalu melaporkan hujan lebat berterusan menyebabkan mendapan dan pergerakan tanah di kawasan LRA Bukit Remah dekat Tanah Merah.
Kejadian itu menyebabkan paip air bersaiz 700 milimeter (mm) pecah sekali gus menjejaskan bekalan air kepada 13,766 akaun pengguna.
Jabatan Korporat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) menerusi satu kenyataan, memaklumkan paip air mentah berkenaan pecah pagi tadi menyebabkan LRA Bukit Remah terpaksa dihenti tugas serta-merta. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami