KOTA BHARU: Pembeli rumah di pangsapuri kakitangan awam Lembah Sireh menyambut baik moratorium yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad.

Lebih menggembirakan apabila bayaran yang terpaksa dilakukan sudah lebih tiga tahun boleh dibuat semula selepas rumah siap sepenuhnya.

Pembeli, Noor Alizam Shafie, 35, mengakui sebelum ini terbeban kerana perlu mengeluarkan lebih RM1,000 sebulan untuk bayaran kediaman pertamanya itu.

"Kebanyakan pembeli juga menyewa rumah lain menyebabkan tambahan komitmen bulanan," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana kerajaan mengambil berat isu itu dan pembeli berpuas hati dengan keputusan Perdana Menteri.

"Walaupun selepas ini kami tidak terkesan lagi dengan bayaran tetapi tetap menggesa pemaju mempercepatkan projek perumahan itu kerana ada antara kami membeli rumah kerana mahu mengelak terus menyewa rumah," katanya.

Sementara itu, pensyarah Bio Perubatan, Universiti Sains Malaysia, Dr Maryan Azlan, 43, gembira menerima pengumuman Perdana Menteri yang disifatkan cakna dan prihatin dengan masalah pembeli rumah itu.

Pada masa sama, beliau berharap Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) memaklumkan terma dan syarat yang dikenakan ke atas pembeli dengan segera.

Dr Maryan yang membuat pembayaran sejak Oktober 2021 berjumlah lebih RM1,500 berharap tiada lagi karenah pemaju dan mengotakan janji supaya pembeli boleh menduduki rumah secepat mungkin.

"Kami juga mahu pemaju menyelesaikan pembinaan rumah secepat mungkin kerana Perdana Menteri pada Ahad memaklumkan kerajaan Persekutuan bersetuju menangguhkan bayaran balik pinjaman kepada pembeli rumah pangsapuri kakitangan awam Lembah Sireh yang terbengkalai sejak 2020," katanya.

Beliau juga memaklumkan pembeli perlu meneruskan bayaran selepas kunci rumah diserahkan kepada mereka.

Perdana Menteri pada Ahad berkata, kerajaan bersetuju menangguhkan bayaran balik pinjaman kepada pembeli rumah pangsapuri kakitangan awam di Lembah Sireh yang terbengkalai di sini.

Anwar berkata, keputusan dibuat bertujuan meringankan beban pembeli yang terpaksa menanggung pembayaran pinjaman melalui LPPSA.

Beliau memberitahu, pelepasan bayaran pinjaman berkenaan diberikan kepada pembeli sehingga mereka boleh menduduki rumah itu. -Sinar Harian