[TERKINI] Senarai Lengkap Kabinet Baharu MADANI – Siapa Pegang Portfolio Utama?
MALAYSIA

Terjatuh dalam tali air, warga emas OKU ditemukan lemas

Bernama 17/12/2025 | 03:30 MYT
Mangsa ditemui lemas selepas dipercayai terjatuh dari kerusi roda ke dalam tali air di Jalan Kampung Sungai Tiang Baru, Selekoh pada Rabu. - Foto Sinar Harian
IPOH: Seorang lelaki warga emas orang kurang upaya (OKU) ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari kerusi rodanya ke dalam tali air di Jalan Kampung Sungai Tiang Baru, dekat Selekoh, Hutan Melintang pagi tadi.

Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Shazlean Mohd Hanafiah berkata mangsa lelaki tempatan berusia 77 tahun yang berkaki palsu itu, ditemukan terapung di bawah jambatan Sungai Tiang kira-kira dua meter dari lokasi dipercayai mangsa terjatuh, pada 8.40 pagi.

"Setibanya jentera di tempat kejadian pada jam 8.13 pagi, kerusi roda milik mangsa ditemukan berada di tepi tali air dan mangsa disyaki telah terjatuh ke dalamnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Shazlean berkata pasukan bomba kemudian menjalankan penilaian awal sebelum mengarahkan anggota membuat pencarian di sekitar kawasan kejadian.

Mangsa berjaya dibawa keluar dari dalam air oleh anggota bomba, sebelum diperiksa oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan dan siasatan lanjut," katanya.

-- BERNAMA








#warga emas #Tali air #lemas #OKU