Terjun bangunan, warga asing maut cuba elak pemeriksaan polis

Petrus Bernard
Mei 17, 2022 14:41 MYT
Lelaki 23 tahun itu mengalami kecederaan parah sebelum dihantar ke Hospital Tawau dan disahkan meninggal dunia, jam 8.38 pagi. - Gambar/ Media sosial
TAWAU: Akibat panik, seorang warga asing dipercayai nekad terjun dari tingkat satu bangunan semata-mata untuk mengelak daripada diperiksa polis dalam serbuan di pusat hiburan di Jalan Datuk Chong Thien Vun di sini, awal pagi Selasa.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, lelaki 23 tahun itu bagaimanapun mengalami kecederaan parah sebelum dihantar ke Hospital Tawau dan disahkan meninggal dunia, jam 8.38 pagi.
Terdahulu, katanya polis menyerbu pusat hiburan itu yang didapati beroperasi melebihi masa dan pemeriksaan awal berjaya menahan lima individu termasuk seorang wanita berusia 17 hingga 45 tahun.
“Semua suspek ditahan kerana dipercayai masuk dan tinggal di negara ini tanpa dokumen diri yang sah. Pasukan serbuan turut merampas beberapa peralatan elektronik di pusat hiburan berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut di belakang premis berkenaan kemudiannya menemui lelaki terbabit yang terbaring berlumuran darah di atas jalan. Turut berada bersamanya adalah seorang lelaki lain yang kemudian turut ditahan," katanya dalam kenyataan di sini, pada Selasa.
Katanya, polis menjalankan siasatan lanjut mengenai kejadian berkenaan,
Mengenai serbuan itu pula, katanya kes disiasat mengikut Seksyen 3, Ordinan Hiburan Awam 1958 dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/1963.
#terjun bangunan #pusat hiburan #serbuan polis #Tawau