MALAYSIA

[TERKINI] 23 sukarelawan Global Sumud Flotila selamat tiba di KLIA

Seth Akmal 07/10/2025 | 14:18 MYT
Orang ramai yang menghadiri Majlis Sambutan Kepulangan Wira Sumud Nusantara Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
SEPANG: Kesemua 23 wira dan wirawati Global Sumud Flotila telah selamat tiba di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 10.13 malam di sini hari ini.

Ketibaan mereka disambut dengan laungan ‘Free Palestine’, ‘Bebas Gaza’, dan ‘Hidup Sumud’ oleh ribuan yang hadir sejak petang Selasa di Majlis Sambutan Kepulangan Wira Sumud Nusantara Malaysia dengan menaiki pesawat Emirates EK452.

Ahli keluarga para sukarelawan juga hadir sekitar jam 9.00 malam dengan menaiki bas khas dan disambut dengan tepukan gemuruh dalam kalangan pengunjung yang hadir.

Untuk rekod kesemua para sukarelawan telah ditahan oleh rejim zionis Israel di perairan antarabangsa pada 2 Oktober dalam misi menghantar bantuan kemanusiaan kepada warga Gaza yang telah mengalami kebuluran secara paksa sejak dua tahun lalu.

Aktivis Malaysia yang ditahan ialah Musa Nuwayri, Sul Adil, Taufiq Mohd Razif, Haikal Luqman, Hareez Adzrami, Danish Nazram, Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Norhelmi Ab Ghani, Norazman Ishak, Mohd Asmawi, Rusydi Ramli, Iylia Balqis dan Zulfadhli Khairudin.

Malah terdapat pengamal media, pendakwah bebas dan selebriti turut bersama dalam misi, antaranya Zainal Rashid Ahmad, Razali Awang, Muhammad Abdullah, Rahmat Ikhsan, Farah Lee, Hazwani Helmi, Heliza Helmi, Ardell Aryana dan Zizi Kirana.

Orang ramai yang hadir juga tidak dapat menahan sebak apabila ada dalam kalangan mereka yang menangis meraikan kepulangan para sukarelawan.

Turut hadir Menteri Luar Negeri Mohamad Hasan, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari dan Presiden MAPIM, Azmi Abdul Hamid.

Malah Mufti Wilayah, Ahmad Fauwaz Fadzil turut membacakan doa tanda kesyukuran atas ketibaan para sukarelawan.

Himpunan Solidariti Bersama Gaza bakal diadakan pada esok (8 Oktober) di Axiata Arena, Bukit Jalil bermula pada 6 petang bagi meraikan sumbangan para sukarelawan yang telah cuba melepasi sekatan rejim Israel dalam perjalanan menuju ke Gaza.

Himpunan tersebut dijangka menghimpunkan ribuan rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang, termasuk pertubuhan bukan kerajaan, aktivis kemanusiaan dan pertubuhan belia di bawah tema “Gelombang Malaysia, Palestin Merdeka.”

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menyifatkan para sukarelawan terbabit sebagai wira dan wirawati kemanusiaan negara, yang menjunjung tinggi nilai kemanusiaan sejagat tanpa mengenal sempadan.





#Global Sumud Flotilla #KLIA #Majlis Sambutan Kepulangan Wira Sumud Nusantara Malaysia #Gaza