MALAYSIA
[TERKINI] Aerotrain KLIA kembali beroperasi 1 Julai
Selepas kira-kira tiga tahun dihentikan perkhidmatan Aerotrain di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan kembali beroperasi sepenuhnya mulai pukul 10 pagi, 1 Julai depan. - Gambar Alstom
SEPANG: Selepas kira-kira tiga tahun dihentikan, perkhidmatan Penggerak Penumpang Automasi (Aerotrain) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan kembali beroperasi sepenuhnya bermula pukul 10 pagi, 1 Julai depan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, keputusan itu dibuat selepas projek naik taraf Aerotrain memasuki fasa akhir dan melalui beberapa siri ujian keselamatan termasuk Ujian Tindak Balas Kecemasan (ERP).
"Pelbagai ujian telah dan sedang dilaksanakan termasuk simulasi bersama pasukan keselamatan serta pasukan tindak balas kecemasan dalam tempoh beberapa hari akan datang.
"Salah satu ujian penting yang akan dilaksanakan pasukan tindak balas kecemasan Malaysia Airports (MAHB) iaitu bagaimana kita bertindak balas sekiranya berlaku sebarang kecemasan.
"Sekiranya semuanya berjalan lancar, Aerotrain KLIA akan kembali beroperasi bermula 1 Julai ini," katanya dalam sidang media selepas sesi pratonton media Aerotrain di Terminal 1, KLIA, di sini, pada Sabtu.
Anthony Loke berkata, setiap tren terdiri daripada tiga koc dengan satu koc mampu memuatkan 90 orang penumpang, menjadikan kapasiti keseluruhan bagi setiap perjalanan mencecah 270 orang.
Menurutnya, terdapat tiga set tren keseluruhan dengan dua koc akan beroperasi secara bergilir sepanjang masa.
"Satu lagi set tren akan dijadikan sebagai back up (simpanan) untuk waktu-waktu puncak. Sepanjang tempoh operasi harian dari pagi hingga malam, kedua-dua landasan akan digunakan bagi memastikan kelancaran pergerakan penumpang," kata beliau.
Bagaimanapun, menurutnya, pada waktu tertentu yang diperuntukkan untuk kerja-kerja penyelenggaraan iaitu pada pukul 12 tengah malam hingga 5 pagi, hanya satu tren akan beroperasi setiap hari.
Jelas beliau lagi, ia bagi memastikan aspek penyelenggaraan dan keselamatan tren dapat dijalankan secara optimum.
Beliau berkata, perkhidmatan bas pengantara yang sebelum ini digunakan untuk menggantikan Aerotrain akan diteruskan sebagai opsyen kepada penumpang berikutan pergerakan besar penumpang pada masa ini.
"Perkhidmatan bas pengantara akan terus beroperasi sebagai pelan sokongan kepada sistem Aerotrain sehingga operasi berjalan lancar sepenuhnya.
"Setelah semuanya berjalan dengan baik dan stabil, pihak pengurusan akan membuat keputusan sama ada untuk menamatkan atau mengekalkan perkhidmatan bas tersebut," jelasnya.
Pada Mac 2022, MAHB mengumumkan menganugerahkan Projek Penggantian Aerotrain KLIA, yang mempunyai garis masa untuk disiapkan selama tiga tahun.
Bagaimanapun, projek berkenaan mengalami kelewatan dan disusuli dengan penganugerahan projek baharu pada Januari 2024 kepada konsortium merangkumi Alstom, pengeluar peralatan asal Aerotrain dan JMC-Pestech JV untuk mengemudi projek itu agar kembali kembali ke landasan asal.