MALAYSIA

[TERKINI] Albert Tei mengaku tidak bersalah beri rasuah RM176,829.03 kepada Shamsul Iskandar

Yasmin Natasha 04/12/2025 | 02:50 MYT
Albert Tei dikawal oleh pasukan keselamatan sebaik tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, pada Khamis. - Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan berhubung memberi rasuah sebanyak RM176,829.03 bagi mendapat kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.

Bagi pertuduhan pertama dan ketiga, tertuduh, Tei Jiann Cheng,37, didakwa telah secara rasuah bersetuju memberi satu suapan, iaitu wang tunai sejumlah RM140,000 kepada bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar @ Yusre Mohd Akin, 51, bagi membantu syarikat-syarikatnya mempunyai kepentingan mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di negeri Sabah.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu pada 24 November 2023 dan 29 Januari 2024, di Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya, di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Bagi pertuduhan kedua dan keempat, Albert didakwa telah memberikan satu suapan iaitu kelengkapan perabot dan barangan elektrik bernilai RM 36,829.03 kepada individu yang sama bagi tujuan yang sama.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu pada 7 Disember 2023 dan 31 Januari 2024, Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya, di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur manakala bagi pertuduhan keempat dilakukan pada 26 Februari 2024 dan 5 Mac 2024, Jalan P14a 1/1, Presint 14, di dalam Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Ahli perniagaan itu didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusop Khan, mencadangkan ikat jamin sebanyak RM300,000 dengan dua orang penjamin, pasport diserahkan kepada pihak mahkamah, tertuduh perlu menyerahkan diri sebulan sekali di pejabat SPRM serta tidak mengacau saksi.

Peguam Latheefa Koya yang mewakili tertuduh memohon ikat jamin dikenakan sebanyak RM30,000 atas alasan anak guamnya sentiasa memberikan kerjasama penuh sepanjang siasatan.

“Pasport anak guam saya telah diserahkan kepada mahkamah. Anak guam saya telah pun hadir sebanyak tujuh kali untuk memberi maklumat-maklumat di Mahkamah Sabah secara sukarela.

"Beliau juga perlu menjaga kedua-dua ibu bapa dan keluarga mentua beliau,” katanya di dalam mahkamah hari ini.

Hakim Suzana Hussin kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM70,000 bersama tiga syarat tambahan yang dimohon oleh pihak Timbalan Pendakwa Raya.

Mahkamah kemudian menetapkan 8 Januari 2026 bagi sebutan semula kes.



#Albert Tei #kes rasuah #lesen mineral Sabah #Shamsul Iskandar Mohd Akin