[TERKINI] Banjir: Kuala Lumpur turut terjejas, bilangan mangsa seluruh negara hampir 14,000
![[TERKINI] Banjir: Kuala Lumpur turut terjejas, bilangan mangsa seluruh negara hampir 14,000 [TERKINI] Banjir: Kuala Lumpur turut terjejas, bilangan mangsa seluruh negara hampir 14,000](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-11/71763980684_Banjirkilat.jpg)
Banjir kilat di susur masuk ke Lebuhraya Sultan Iskandar menghala ke Jalan Tun Razak, berdekatan bangunan Parlimen susulan hujan lebat sejak 3 petang di sekitar Kuala Lumpur pada Isnin - Foto media sosial
KUALA LUMPUR: Banjir yang melanda beberapa negeri terus bertambah buruk apabila jumlah mangsa meningkat kepada 13,921 orang setakat jam 6 petang Isnin.
Pertambahan kes di Kuala Lumpur menjadikan sembilan negeri kini terjejas akibat bencana tersebut.
Menurut laporan terkini Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kelantan kekal merekodkan jumlah mangsa tertinggi dengan 9,689 orang yang ditempatkan di 39 pusat pemindahan sementara (PPS). Daerah terjejas meliputi Tumpat, Bachok, Kota Bharu dan Pasir Puteh.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan memaklumkan situasi masih terkawal namun pemantauan rapi diteruskan susulan ramalan hujan berterusan.
Perak menjadi negeri kedua paling terjejas dengan 1,786 mangsa berlindung di 20 PPS melibatkan kawasan Perak Tengah, Manjung, Larut, Matang dan Selama serta Batang Padang.
Sementara itu, Terengganu merekodkan 160 mangsa dengan satu PPS beroperasi di Besut, manakala Kedah mencatatkan 505 mangsa di tiga PPS di Kulim dan enam PPS di Kubang Pasu.
Di Perlis, tiga daerah terjejas iaitu Arau, Padang Besar dan Kangar dengan 721 mangsa ditempatkan di lapan PPS.
Pulau Pinang pula melaporkan 388 mangsa di empat PPS melibatkan Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah.
Sementara itu, Selangor mencatatkan peningkatan dengan 640 mangsa daripada 210 keluarga yang berada di 12 PPS di Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Hulu Langat dan Shah Alam, manakala Sarawak mencatatkan 44 mangsa melibatkan enam keluarga di satu PPS di Miri.
Pihak berkuasa mengingatkan penduduk di kawasan berisiko supaya terus mematuhi arahan pemindahan bagi mengelakkan risiko keselamatan serta tidak melakukan aktiviti di sungai atau kawasan yang berpotensi dinaiki air secara mendadak.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa mengikuti perkembangan cuaca dan paras air sungai, menyediakan keperluan asas sebagai persiapan awal serta mengutamakan keselamatan keluarga sekiranya diarahkan berpindah.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap buruk di beberapa kawasan Pantai Timur dan utara Semenanjung sepanjang minggu ini. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


