[INFO BANJIR] Dapatkan info terkini cuaca dan banjir seluruh negara
MALAYSIA

[TERKINI] Banjir: PRIME diaktifkan di tiga negeri, pastikan komunikasi kekal lancar

Bernama 27/11/2025 | 08:45 MYT
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching menjawab soalan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat, Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu (PRIME) telah diaktifkan di tiga negeri mengalami banjir teruk setakat ini, bagi memastikan perkhidmatan komunikasi kekal berfungsi di kawasan yang terputus capaian Internet dan talian telefon, seterusnya memudahkan koordinasi bantuan.


Ringkasan AI
  • Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu (PRIME) diaktifkan di Kelantan, Sabah, dan Sarawak untuk memastikan perkhidmatan komunikasi terus berfungsi di kawasan yang terputus capaian Internet dan telefon semasa banjir.
  • Berdasarkan laporan MCMC, sebanyak 15 lokasi infrastruktur komunikasi terjejas akibat banjir, namun enam daripadanya telah pulih dan kembali beroperasi, sementara lima lokasi dijangka pulih pada hari yang sama.
  • PRIME, inisiatif strategik MCMC, menggunakan pelbagai teknologi termasuk satelit, selular, radio dua hala, Wi-Fi, dan dron untuk memastikan komunikasi kekal berfungsi dalam keadaan kritikal, terutama di kawasan terjejas banjir.


Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata tiga negeri terlibat ialah Kelantan, Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata menurut laporan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) semalam, sebanyak 15 lokasi infrastruktur komunikasi dilaporkan terjejas akibat bencana banjir namun enam daripadanya telah pulih dan kembali beroperasi.

"Ada lima lokasi akan pulih dan kembali beroperasi pada hari ini. Untuk yang lain, oleh sebab sekarang memang tak boleh akses kepada lokasi itu kerana faktor keselamatan jadi mungkin akan makan masa lebih panjang sikit," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai bilangan unit PRIME sedang digunakan ketika ini, terutama di kawasan terjejas teruk dengan musibah banjir serta langkah kerajaan memastikan sistem itu ditempatkan di kawasan paling berisiko supaya capaian komunikasi benar-benar tersedia ketika diperlukan.

Terdahulu, Teo berkata PRIME ialah inisiatif strategik MCMC yang dibangunkan bagi memperkukuh kesiapsiagaan komunikasi negara semasa menghadapi bencana dan kecemasan, khususnya di kawasan terputus capaian komunikasi.

Beliau berkata sistem itu direka bentuk sebagai sistem komunikasi bergerak yang menggabungkan pelbagai teknologi seperti satelit, selular, radio dua hala, Wi-Fi dan dron bagi memastikan komunikasi kekal berfungsi dalam situasi kritikal.

"Berbanding aset komunikasi sedia ada yang dimiliki pelbagai agensi keselamatan dan pengurusan bencana, MCMC PRIME menawarkan nilai tambahan dari segi mobiliti, keupayaan pelbagai teknologi dan liputan Internet yang boleh diperluas menggunakan dron sebagai Mesh Wi-Fi semasa di lapangan," katanya.

Beliau menjawab soalan asal Mohd Isam yang ingin tahu nilai tambah PRIME berbanding aset komunikasi sedia ada dimiliki pelbagai agensi keselamatan bencana serta sejauh mana sistem itu telah diuji dalam simulasi kecemasan berskala besar dan dapatan penilaian prestasinya.

Dari segi keberkesanan dan penilaian prestasi, Teo berkata sistem PRIME telah diuji dalam pelbagai situasi termasuk insiden sebenar seperti bencana banjir dan tanah runtuh di Penampang, Sabah pada 15 hingga 19 Sept lepas.

Teo berkata PRIME telah berjaya menyediakan capaian Wi-Fi kepada mangsa pemindahan dan pasukan penyelamat di beberapa lokasi kritikal yang mengalami gangguan capaian komunikasi seperti PPS Kampung Sarapung, PPS Marahang dan Kampung Kaiduan.

"Di PPS (pusat pemindahan sementara) Kampung Sarapung, sistem PRIME mencatatkan sambungan serentak hingga 67 pengguna dan ketika capaian berada pada tahap tertinggi, kelajuan muat turun mencapai 158 Mbps manakala kelajuan muat naik mencecah 33 Mbps.

"Prestasi ini membuktikan keupayaan sistem tersebut dalam menyokong komunikasi kritikal di lapangan. PRIME juga akan dihantar ke negeri terjejas akibat banjir yang memerlukan sokongan bagi penyediaan perkhidmatan telekomunikasi segera khususnya Kelantan pada masa ini yang paling teruk terjejas," katanya.

-- BERNAMA








#PRIME #Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu #banjir #Teo Nie Ching #Dewan Rakyat #terkini