[INFO BANJIR] Dapatkan info terkini cuaca dan banjir seluruh negara
MALAYSIA

[TERKINI] Banjir: Pulau Pinang pulih, tujuh negeri masih terjejas

Bernama 26/11/2025 | 09:18 MYT
Antara mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Bukit Payong hari ini selepas rumah mereka dinaiki air berikutan hujan lebat. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Banjir di Pulau Pinang pulih sepenuhnya, namun tujuh negeri masih terjejas dengan Kelantan, Kedah, Perlis, Perak dan Terengganu terus mencatatkan pertambahan jumlah mangsa.


Ringkasan AI
  • Banjir di Pulau Pinang pulih sepenuhnya; Kelantan, Kedah, Perlis, Perak, dan Terengganu terus mengalami peningkatan mangsa.
  • Paras air di Kelantan meningkat, beberapa sungai melampaui tahap amaran dan bahaya.
  • Perlis, Perak, Kedah, dan Terengganu turut mencatatkan peningkatan mangsa banjir, sementara Selangor menunjukkan penurunan, dan Pahang kekal dengan 19 mangsa.

Klik di sini untuk FAQ berkaitan artikel ini

Mangsa banjir di Selangor menunjukkan sedikit penurunan dan situasi di Pahang kekal tidak berubah setakat 3 petang tadi.

Di PULAU PINANG, pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Pasir di daerah Seberang Perai Tengah ditutup 11 pagi tadi selepas semua lapan mangsa dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir bertambah kepada 10,578 orang daripada 4,016 keluarga berbanding 9,615 pagi tadi yang ditempatkan di 63 PPS di sembilan jajahan terjejas iaitu Kota Bharu, Tumpat, Bachok, Pasir Puteh, Pasir Mas, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Gua Musang.

Berdasarkan laman web Infopublic Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras air di beberapa sungai utama di Kelantan terus menunjukkan peningkatan dengan beberapa stesen merekodkan bacaan melepasi tahap amaran dan bahaya setakat 3 petang.

Paras air di Sungai Golok, Rantau Panjang meningkat kepada 9.31 meter (m), melepasi tahap bahaya 9m, manakala paras air Kampung Jenob berada pada 23.67m, melepasi tahap bahaya 23.50m.

Turut mencatatkan peningkatan ialah Sungai Galas di Limau Kasturi, Gua Musang yang merekodkan 59.66m, melepasi tahap bahaya 59m, dengan trend menaik.

Di PERLIS, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 6,370 orang dengan penambahan satu lagi PPS setakat 3 petang, berbanding 6,087 mangsa yang ditempatkan di 20 PPS pagi tadi.

Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Perlis memaklumkan kawasan banjir melibatkan Padang Besar, Arau dan Kangar.

Di PERAK, jumlah mangsa banjir di lapan daerah di negeri itu meningkat kepada 4,739 orang daripada 1,469 keluarga berbanding 4,345 orang pagi tadi yang berlindung di 44 PPS.

Daerah Manjung kekal dengan jumlah mangsa tertinggi iaitu 1,830 orang, Perak Tengah (1,415), Bagan Datuk (509), Hilir Perak (647), Muallim (101), Larut Matang dan Selama (165), Kuala Kangsar (69) serta Batang Padang (tiga).

Di KEDAH, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 3,101 orang daripada 1,058 keluarga setakat 3 petang berbanding 3,049 orang pagi tadi dengan Pokok Sena menjadi daerah baharu terjejas akibat bencana itu.

Bagaimanapun, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kedah memaklumkan jumlah mangsa dari daerah itu yang ditempatkan di Dewan Serbaguna Pokok Sena masih dalam bancian, manakala daerah Kubang Pasu mencatatkan jumlah mangsa tertinggi melibatkan 2,299 orang dan Kota Setar (802).

Laman web Infopublic Banjir JPS memaklumkan sembilan sungai di Kedah telah melepasi tahap bahaya antaranya Sungai Anak Bukit dengan 3.37m, Sungai Padang Terap (4.55m), Sungai Bata (11.106m), Wang Tepus (10.195m) dan Sungai Baru (2.018m).

Di TERENGGANU, hujan berterusan sejak semalam menyebabkan mangsa banjir meningkat kepada 2,525 orang daripada 800 keluarga petang ini berbanding 153 mangsa pagi tadi yang ditempatkan di 33 PPS.

Berdasarkan laman web Infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), enam daerah terjejas banjir dengan Marang menjadi daerah paling terkesan melibatkan 1,603 mangsa, diikuti Setiu (477), Besut (199), Kuala Terengganu (108), Dungun (79) dan Hulu Terengganu (59).

Sebanyak tiga sungai di negeri itu berada pada paras bahaya iaitu Sungai Setiu dan Sungai Chalok di Setiu serta Sungai Besut di Besut.

Di SELANGOR, jumlah mangsa menurun kepada 2,359 orang daripada 612 keluarga berbanding 2,773 orang pagi tadi dengan empat daripada 23 PPS telah ditutup.

Empat PPS yang ditutup ialah Dewan Bakawali Seksyen 35 dan Dewan MBSA Jati Kampung Sungai Kandis di Klang, Dewan Orang Ramai Taman Gemilang, Dengkil di Sepang dan Sekolah Kebangsaan Sultan Abdul Aziz di Kuala Selangor.

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir kekal 19 orang daripada lapan keluarga dengan kesemua mereka ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Dato Omar Kuala Medang, Lipis.

-- BERNAMA








Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
  • Q: Berapakah jumlah mangsa banjir di Kelantan pada waktu terkini?
    A: Jumlah mangsa banjir di Kelantan bertambah kepada 10,578 orang daripada 4,016 keluarga pada masa terkini.
  • Q: Apakah sebab peningkatan jumlah mangsa banjir di Perlis?
    A: Jumlah mangsa banjir di Perlis meningkat kepada 6,370 orang disebabkan oleh penambahan satu lagi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat 3 petang.
  • Q: Berapakah jumlah mangsa banjir di Perak pada masa kini?
    A: Jumlah mangsa banjir di Perak meningkat kepada 4,739 orang daripada 1,469 keluarga pada masa kini.
  • Q: Apakah kawasan yang paling terjejas oleh banjir di Terengganu?
    A: Marang adalah daerah paling terkesan oleh banjir di Terengganu, melibatkan 1,603 mangsa pada masa ini.
  • Q: Berapa jumlah mangsa banjir di Selangor pada waktu terkini?
    A: Jumlah mangsa banjir di Selangor menurun kepada 2,359 orang daripada 612 keluarga pada masa terkini.



#banjir #mangsa banjir #PPS #pulau pinang #Kelantan #terengganu #terkini