[INFO BANJIR] Dapatkan info terkini cuaca dan banjir seluruh negara
MALAYSIA

[TERKINI] Banjir terburuk dalam tempoh lima tahun - Ketua Kampung Batu 10

Bernama 24/11/2025 | 21:50 MYT
Anggota bomba menyelamatkan mangsa banjir di Kampung Batu Sepuluh Cheras, Kuala Lumpur pada Isnin. (Foto kecil: Napiah Harun). - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Penduduk Kampung Batu 10, Cheras, menyifatkan kejadian banjir kali ini antara yang terburuk dalam tempoh lima tahun, dengan air naik begitu pantas sehingga ada dalam kalangan penduduk tidak sempat menyelamatkan harta benda.


Ringkasan AI
  • Penduduk Kampung Batu 10, Cheras, menganggap banjir kali ini antara yang terburuk dalam lima tahun, menyebabkan beberapa penduduk tidak sempat menyelamatkan harta benda kerana air naik dengan cepat.
  • Banjir tersebut berlaku secara luar biasa, dengan air naik hampir satu meter dalam tempoh hanya 30 minit pada waktu tengah hari semalam, memaksa penduduk meninggalkan rumah dan barang-barang terutama di kawasan rendah.
  • Lebih daripada 70 penduduk terkesan akibat banjir di Kampung Batu 10, dengan mereka ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara, sementara operasi pemindahan melibatkan 74 mangsa termasuk penduduk tempatan dan warga asing.


Ketua Kampung Batu 10, Napiah Harun berkata, walaupun kampung itu sudah biasa menghadapi banjir, kejadian kali ini luar biasa apabila air naik hampir satu meter hanya dalam 30 minit pada 1 tengah hari semalam.

"Selalunya, walaupun hujan lebat, air hanya mengalir lalu. Tapi hari ini berbeza... air masuk dengan cepat dan kami memang tidak menjangka ia akan seteruk ini.

"Kawasan rumah saya sendiri berada di kawasan rendah, jadi air masuk sangat cepat hingga paras dada. Barang-barang rumah ada sempat diselamatkan, ada yang tidak.

"Kami terpaksa tinggalkan rumah sejak petang tadi sebab paras air semakin naik. Barang boleh diganti, yang penting selamatkan nyawa," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Info terkini Cuaca dan Banjir

Secara keseluruhan, beliau berkata kampung berkenaan mempunyai 20 buah rumah termasuk dua bangunan dihuni warga asing dengan anggaran lebih 70 penduduk terkesan akibat banjir hari ini.

Mereka yang terkesan ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka iaitu di Kampung Melaka dan Kompleks Penghulu Mukim Cheras.

Pada masa sama, Napiah berkata, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) turut memantau keadaan semasa paras air sejak malam tadi dan memaklumkan kepada penduduk dalam kumpulan WhatsApp.

Beliau berkata, Kampung Batu 10 sering menerima limpahan air dari kawasan Hulu Langat kerana berkongsi aliran sungai dan hujan lebat hari ini menyebabkan sungai tidak mampu menampung jumlah air yang tinggi.

Sementara itu, Ketua Zon 4 Hulu Langat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Syariman Wan Saleh berkata, operasi pemindahan penduduk di kampung terbabit bermula 11 pagi tadi, apabila ada dalam kalangan penduduk tidak sempat keluar disebabkan air naik terlalu cepat.

"Awalnya mereka enggan berpindah, tetapi apabila paras air meningkat, kita terpaksa keluarkan mereka segera," katanya.

Beliau berkata, operasi pemindahan melibatkan 74 mangsa termasuk 25 penduduk tempatan manakala selebihnya warga asing yang mendiami rumah sewa dan bangunan pekerja di kawasan itu.

Beliau berkata, sebanyak tiga bot digunakan untuk mengeluarkan mangsa selain haiwan ternakan milik penduduk.

-- BERNAMA





#banjir #Kampung Batu 10 #Cheras #banjir terburuk #Ketua Kampung Batu 10