MALAYSIA

[TERKINI] Bekas PTD mengaku tidak bersalah terima wang haram RM145,000, kes dipindah ke Mahkamah KL

Umavathi Ramayah 23/01/2026 | 02:15 MYT
Muhammad Hafizuddeain (kanan) bersama peguam beliau, Aizul Rohan memohon supaya jaminan sedia ada dikekalkan bagi pertuduhan berkenaan, memandangkan tertuduh pada Khamis didakwa atas empat pertuduhan lain. - Gambar Astro AWANI/ Mohammad Luqman Abdul
SHAH ALAM: Bekas Panglima Tentera Darat (PTD), Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, pada Jumaat atas dua tuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram yang keseluruhannya berjumlah RM145,000.

Ini merupakan pendakwaan kedua selepas tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis.

Dalam prosiding hari ini, tertuduh yang berusia 58, tahun itu kelihatan tenang sepanjang prosiding, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan terhadap kedua-dua tuduhan yang didakwa dilakukan di antara 19 September 2024 hingga 19 Mei tahun lalu.

“Faham (pertuduhan) Datuk, saya mohon dibicarakan. Saya mengaku tidak bersalah,” katanya ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menerima wang berjumlah RM115,000 yang dimasukkan ke dalam akaun Maybank bernombor 562674242592 miliknya di Maybank Cawangan Ampang Point, Ampang Jaya, dekat sini.

Bagi pertuduhan kedua pula, Muhammad Hafizuddeain didakwa menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM30,000 yang dimasukkan ke dalam akaun bank sama pada 19 Mei lalu, juga di Maybank Cawangan Ampang Point, Ampang Jaya dekat sini.

Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 [Akta 613] dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Pada prosiding hari ini peguam bela, Aizul Rohan Anuar memohon supaya jaminan sedia ada dikekalkan bagi pertuduhan berkenaan, memandangkan tertuduh pada Khamis didakwa atas empat pertuduhan lain.

Menurutnya, sebutan bagi empat pertuduhan membabitkan nilai RM2.12 juta itu ditetapkan pada 30 Mac depan dan melibatkan saksi serta fakta yang sama, cuma berbeza dari segi lokasi kemasukan wang ke dalam akaun.

“Maka kami memohon supaya kedua-dua pertuduhan ini dipindahkan ke Mahkamah Kuala Lumpur untuk dibicarakan secara bersama,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan pembelaan supaya kedua-dua pertuduhan itu dipindahkan ke Mahkamah Kuala Lumpur untuk dibicarakan secara bersama empat lagi pertuduhan dengan jaminan dikekalkan.

Mahkamah turut menetapkan tarikh sebutan yang sama bagi semua pertuduhan terbabit.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendajwa Raya SPRM, Mahadi Abdul Jumaat.

Pada Khamis, Muhammad Hafizuddeain mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat tuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram yang keseluruhannya berjumlah RM2.12 juta.

Dalam prosiding itu tertuduh dibenarkan diikat jamin dengan wang jaminan berjumlah RM250,000 dengan dua penjamin dan menetapkan pada 30 Mac ini bagi tarikh sebutan kes.

Beliau adalah PTD pertama yang didakwa di mahkamah berhubung kes pengubahan wang haram berkaitan tender perolehan Tentera Darat Malaysia (TDM).

Muhammad Hafizuddeain menghantar surat untuk bersara daripada perkhidmatan tentera, bermula 1 Januari lalu selepas dirinya disiasat SPRM.








#kes rasuah PTD #Panglima Tentera Darat #Muhammad Hafizuddeain Jantan #pengubahan wang haram