[TERKINI] Najib Razak kekal di Penjara Kajang
MALAYSIA

[TERKINI] Cadangan tahanan rumah perlu dibahas berperingkat di Parlimen - Shamsul Iskandar

Astro Awani 22/12/2025 | 15:45 MYT
Shamsul turut menyatakan empati terhadap perasaan, harapan serta kegusaran yang dirasai oleh Najib. - Foto fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Keperluan untuk memperkenalkan mekanisme seperti tahanan rumah wajar dibahaskan secara berperingkat melalui institusi Parlimen.


Ringkasan AI
  • Keperluan memperkenalkan mekanisme seperti tahanan rumah wajar dibincangkan melalui Parlimen bagi memastikan keadilan dan empati dalam pelaksanaan hukuman.
  • Ketua Cabang PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, menegur keperluan untuk menjelaskan isu tahanan rumah dengan bijaksana serta matang, merujuk kepada kes Najib Tun Razak.
  • Shamsul menyeru agar rakan parti dalam Kerajaan Perpaduan merespons keputusan mahkamah dengan penuh tanggungjawab serta empati bagi menjaga maruah institusi dan keadilan rakyat.


Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin menyatakan, perkara itu bukan isu kecil malah wajar dijelaskan dengan empati, kebijaksanaan serta kematangan bersama.

Beliau merujuk kepada rasa empati terhadap perasaan, harapan serta kegusaran yang dirasai oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung Titah Adendum.

“Sebarang bentuk pelaksanaan hukuman atau kaedah penahanan tidak boleh dipisahkan daripada peruntukan undang-undang serta proses kehakiman yang ditetapkan oleh negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shamsul turut mengimbau cadangan yang pernah dikemukakan oleh PKR agar Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang menjalani hukuman penjara untuk mendapatkan tahanan rumah pada 2016.

“Kerajaan ketika itu secara rasmi menyatakan bahawa negara belum mempunyai peruntukan undang-undang khusus bagi melaksanakan tahanan rumah.

“Atas asas itu, cadangan agar Datuk Seri Anwar Ibrahim menjalani hukuman dalam bentuk tahanan rumah tidak dapat dilaksanakan, meskipun terdapat pertimbangan dari sudut kesihatan dan kemanusiaan,” katanya.

Pada masa sama, Shamsul turut menegur rakan-rakan parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan agar matang dan tidak menyatakan sebarang reaksi terhadap keputusan mahkamah.

“Keputusan kehakiman menyentuh emosi, maruah institusi dan rasa keadilan rakyat, dan sewajarnya ditanggapi dengan penuh tanggungjawab serta empati,” katanya.

Dalam keputusan dibacakan Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching mendapati Titah Adendum berkenaan tidak dibincangkan atau diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan ke-61 pada 29 Januari tahun lalu.


#Titah Adendum #Parti Keadilan Rakyat #Mahkamah Tinggi #Kerajaan Perpaduan