MALAYSIA

Dr Mahathir nikmati minuman coklat di luar hospital, tanda kesihatan semakin baik

Seth Akmal 27/01/2026 | 06:30 MYT
Dr Mahathir kelihatan berada di sebuah restoran selepas menjalani rawatan selepas 22 hari dimasukkan ke IJN. - Foto The Official Tun Dr Mahathir Mohamad
KUALA LUMPUR: Kesihatan Tun Dr Mahathir Mohamad semakin baik dan dilihat sedang menikmati segelas air coklat ais di sebuah kafe di pusat membeli-belah, Pavillion di Bukit Damansara hari ini.

Perkara tersebut disahkan oleh pegawai bekas Perdana Menteri itu, Sufi Yusoff dan menyatakan Dr Mahathir masih dalam pemantauan pihak hospital selepas menjalani rawatan selama 22 hari di Institut Jantung Negara (IJN).

"Beliau (Dr Mahathir) masih belum dibenarkan pulang ke rumah dan akan terus menerima rawatan di IJN," ujar Suffi menerusi kenyataan hari ini sambil berkongsi sekeping gambar Dr Mahathir di kafe tersebut.

Turut menemaninya isteri beliau Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Ketua Pegawai Eksekutif IJN Datuk Sri Dr Mohamed Ezani Md Taib, serta pegawai- pegawai perubatan selama 40 minit.

Rata-rata pengamal media turut menzahirkan kesyukuran di atas perkembangan kesihatan tokoh politik berusia 100 tahun itu.

Pada 20 Jan, pihak perubatan dan doktor pakar memaklumkan berpuas hati terhadap tahap kemajuan proses pemulihan dan rawatan yang yang dijalankan oleh Dr Mahathir.

Namun, pihak keluarga Dr Mahathir turut memohon maaf kerana tidak dapat menerima lawatan dan hanya terhad pada pihak keluarga terdekat sahaja.

Dr Mahathir dimasukkan ke IJN, sekitar jam 9.30 pagi pada 6 Jan akibat terjatuh di kediamannya.

Akibat kejadian tersebut, beliau disahkan mengalami kecederaan retak tulang pinggul kanan dan perlu menjalani rawatan serta pemantauan selama beberapa minggu.












#Mahathir Mohamad #Perdana Menteri #terkini #nikmati kopi #tahap kesihatan #Pavillion Damansara