GURUN: Dua anggota tentera maut dipercayai akibat kecederaan parah terkena letupan bom ketika menjalani latihan di lapang sasar Kem Hobart, di sini, pada Selasa.
Kedua-dua anggota membabitkan seorang lelaki dan wanita meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani di sini.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan mengesahkan kejadian itu dan memberitahu maklumat kejadian diterima jam 12.30 tengah hari tadi.
Sementara itu, Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam satu kenyataan hari ini, berkata insiden itu berlaku ketika latihan membaling grenad dalam Latihan Peningkatan Tempur Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Divisyen Kedua Infantri Malaysia, pada jam 10.57 pagi.
"Dua anggota yang terlibat iaitu Koperal Norazmi Abu Bakar daripada Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan Prebet Siti Khadijah Sungip daripada Skuadron Pertama Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD), mengalami kecederaan akibat letupan semasa latihan berkenaan.
"Kedua-dua anggota telah dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani bagi mendapatkan rawatan lanjut, walau bagaimanapun, kedua-duanya disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital.
"Jenazah akan dihantar ke hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk menjalani bedah siasat," kata kenyataan itu.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman, dalam kenyataan sama menzahirkan rasa dukacita di atas kehilangan dua warganya dan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa, dan mendoakan mereka bertabah dengan dugaan kehilangan orang tersayang ini.
Beliau turut mengarahkan siasatan terperinci dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Tentera Darat Malaysia memberi jaminan bahawa segala aspek keselamatan latihan akan terus diberi perhatian dan penambahbaikan sewajarnya akan dilaksanakan berdasarkan hasil siasatan.