MALAYSIA

[TERKINI] Dua kanak-kanak ditemukan lemas di Tasik Menawan

Bernama 22/10/2025 | 01:19 MYT
Kedua-dua kanak-kanak yang lemas dikenali sebagai Muhammad Rayyan Iskandar Mohamed Hafizie dan Muhammad Khalish Rayqarl Hasimibudi.
JOHOR BAHRU: Dua kanak-kanak lelaki ditemukan lemas di Tasik Menawan, Taman Pelangi Indah, di sini, awal pagi ini.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya, PBK II Shafie Md Don berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 9.44 malam sebelum tiba di lokasi kira-kira 10 minit kemudian.

"Setibanya pasukan bomba di lokasi, kami menemukan dua pasang selipar di tepi tasik dipercayai milik dua kanak-kanak berusia sembilan dan 10 tahun yang dilaporkan hilang.

"Pasukan bomba menjalankan pencarian di permukaan air menggunakan teknik water surface searching pada radius 25 kaki sebelum pasukan Penyelam di Air (PPDA) meneruskan operasi menggunakan teknik arch pattern," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa ditemukan pada kedalaman kira-kira 10 kaki di bawah batu, pada jarak lima meter dari tebing tasik, pada 2.28 pagi.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Mangsa dikenali sebagai Muhammad Rayyan Iskandar Mohamed Hafizie, 9, dan Muhammad Khalish Rayqarl Hasimibudi, 10.

Operasi dikendalikan BBP Johor Jaya dengan kekuatan 14 anggota itu turut dibantu pasukan dari BBP Skudai serta melibatkan tiga jentera iaitu masing-masing sebuah FRT, EMRS dan utiliti.

Operasi tamat sepenuhnya pada 3.05 pagi.

-- BERNAMA



#dua kanak-kanak lemas #Tasik Menawan #meninggal dunia #Taman Pelangi Indah