[TERKINI] Dua lagi PPS di Selangor dibuka, mangsa banjir di empat negeri menurun
![[TERKINI] Dua lagi PPS di Selangor dibuka, mangsa banjir di empat negeri menurun [TERKINI] Dua lagi PPS di Selangor dibuka, mangsa banjir di empat negeri menurun](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-11/51764051892_banjir.jpg)
KTMB pada Selasa memaklumkan, laluan ke Stesen Arau (gambar) tidak boleh diakses akibat banjir dan penumpang ETS yang menggunakan stesen itu boleh naik dan turun tren di Stesen KTMB Kodiang sehingga keadaan kembali pulih. - Foto BERNAMA/orang awam
KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di Selangor meningkat malam tadi apabila dua lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka, manakala bilangan mangsa di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis menurun, sementara di Pahang tidak berubah.
Ringkasan AI
- Banjir: Jumlah mangsa di Selangor meningkat kepada 2,910 orang dengan dua PPS baru dibuka, sementara di Perlis jumlah mangsa menurun menjadi 5,244 orang malam tadi.
- Kedah: Bilangan mangsa banjir mengalami sedikit penurunan kepada 1,629 orang, namun JPBN Kedah menjangka angka akan meningkat dengan pembukaan dua PPS baru di Kota Setar.
- Kelantan: Mangsa banjir berkurangan kepada 9,337 orang, dengan 41 PPS dibuka di empat jajahan, iaitu Kota Bharu, Tumpat, Bachok, dan Pasir Puteh.
Di KEDAH, jumlah mangsa menurun sedikit kepada 1,629 orang daripada 543 keluarga setakat 8 malam tadi berbanding 1,640 orang daripada 525 keluarga petang semalam yang ditempatkan di 14 PPS di daerah Kubang Pasu.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kedah dalam kenyataan memaklumkan angka mangsa dijangka bertambah apabila Kota Setar menjadi daerah terbaharu terjejas banjir dengan pembukaan dua PPS baharu.
"Dua PPS baharu itu ialah SK Taman Aman dan SK Taman Uda, bagaimanapun jumlah mangsa yang terlibat masih dalam bancian," menurut kenyataan itu.
Di KELANTAN, mangsa banjir menurun sedikit kepada 9,337 orang daripada 3,484 keluarga malam tadi berbanding 9,959 orang pada petang semalam.
Menurut portal Infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak 41 PPS dibuka di empat jajahan terjejas, iaitu Kota Bharu, Tumpat, Bachok dan Pasir Puteh.
Di PULAU PINANG, hanya satu PPS masih beroperasi yang menempatkan 50 mangsa banjir daripada 11 keluarga malam tadi, menurun berbanding 121 mangsa daripada 30 keluarga petang semalam.
Berdasarkan kemas kini lnfobencana JKM setakat 7.36 malam, PPS SK Permatang Pasir di daerah Seberang Perai Tengah (SPT) masih kekal beroperasi menempatkan mangsa berkenaan.
Di PERLIS, jumlah mangsa menurun kepada 5,244 orang setakat malam tadi berbanding 5,591 mangsa pada sebelah petang.
Menurut Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Perlis, semua mangsa berlindung di 17 PPS melibatkan penduduk di kawasan Padang Besar, Arau dan Kangar.
Di PAHANG, jumlah mangsa banjir di negeri itu kekal 42 orang daripada 19 keluarga setakat 8 malam tadi.
Infobencana JKM memaklumkan sebanyak 23 mangsa daripada 11 keluarga berada di PPS Balai Raya Kampung Ulu Sungai, Raub, manakala 19 mangsa daripada lapan keluarga ditempatkan di PPS Dewan Seberguna Dato Omar Kuala Medang, Lipis.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


