MALAYSIA

[TERKINI] GSF: 'Syukur anak-anak kita telah pulang' - Tok Mat

Seth Akmal 07/10/2025 | 16:13 MYT
Kesemua 23 wira dan wirawati Global Sumud Flotila telah selamat tiba di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 10.13 malam Selasa. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
SEPANG: Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas kualiti diplomasinya yang berjaya membawa pulang sukarelawan Global Sumud Flotila (GSF) dengan pantas.


Ringkasan AI
  • Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas usaha diplomasi yang berjaya membawa pulang 23 sukarelawan Global Sumud Flotila (GSF) dengan selamat.
  • Mohamad menegaskan para sukarelawan tidak menuju ke Israel tetapi ke Gaza bagi misi kemanusiaan sebelum ditahan tentera rejim Zionis.
  • Ketibaan mereka di KLIA disambut meriah, simbol sokongan rakyat Malaysia terhadap perjuangan membebaskan Gaza.


“Terima kasih kepada PM di atas usaha dengan tahap diplomasi tertinggi beliau bersama kepimpinan negara-negara sahabat (seperti) Turkiye, Mesir dan Jordan..Alhamdulillah anak-anak kita selamat kembali ke tanah air,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas menyambut ketibaan 23 para sukarelawan GSF dari Istanbul, Turkiye pada Selasa.

Mohamad turut menegaskan bahawa para sukarelawan bukan menuju ke Israel sebaliknya mereka ke Gaza demi misi kemanusiaan.

“Orang kata mereka masuk Israel secara haram, mereka bukan nak pergi ke israel mereka nak pergi ke Gaza, tapi dikepung oleh tentera rejim zioins Israel, jadi ditahan di Israel..jadi jangan dengar cakap orang,” katanya lagi.

Beliau turut menyatakan sokongan terhadap usaha para sukarelawan dari delegasi Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG) yang sedang menuju ke Gaza.

Pada masa sama Ketua Pengarah Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) Datuk Sani Araby Al-Kahery berkata jumlah sukarelawan hanyalah sekadar angka namun kesatuan rakyat Malaysia merupakan usaha yang harus dihargai.

“Hari ini kita bercakap bukan dengan angka kita telah buktikan bahawa usaha untuk membaskan Gaza ini usaha anda dan kita semua,” katanya.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri berpendapat orang ramai yang hadir di KLIA merupakan simbolik denyut nadi untuk Palestin.

“Walaupun kita tidak berjaya memecahkan kepungan (Israel) kita berjaya memecahkan hening kesunyian…mereka (warga Gaza) masih lagi kelaparan, kehilangan, dan sokongan kita justeru jangan biarkan perjuangan kita berakhir pada hari ini,” katanya.

Kesemua 23 wira dan wirawati Global Sumud Flotila telah selamat tiba di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 10.13 malam di sini hari ini.

Ketibaan mereka disambut dengan laungan ‘Free Palestine’, ‘Bebas Gaza’, dan ‘Hidup Sumud’ oleh ribuan yang hadir sejak petang Selasa di Majlis Sambutan Kepulangan Wira Sumud Nusantara Malaysia dengan menaiki pesawat Emirates EK452.

Untuk rekod kesemua para sukarelawan telah ditahan oleh rejim zionis Israel di perairan antarabangsa pada 2 Oktober dalam misi menghantar bantuan kemanusiaan kepada warga Gaza yang telah mengalami kebuluran secara paksa sejak dua tahun lalu.




#Global Sumud flotila GSF #Mohamad Hasan #sukarelawan GSF #Gaza