MALAYSIA

TERKINI HAJI 2025: Arab Saudi larang jemaah haji berjalan kaki dari Mekah ke Arafah

Azizul Azwa 01/06/2025 | 10:10 MYT
Mohd Na'im (tengah) berkata, peraturan itu dimaklumkan dalam pertemuan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bersama menteri dan ketua rombongan haji negara masing-masing, hari ini. -Astro AWANI
JEDDAH: Beberapa peraturan baharu akan dilaksanakan pada musim haji kali ini, khususnya larangan jemaah haji berjalan kaki dari Mekah ke Arafah.

Ringkasan AI
  • Arab Saudi melaksanakan peraturan baharu musim haji 1446H/2025M termasuk larangan berjalan kaki dari Mekah ke Arafah bagi mengelakkan risiko strok haba akibat suhu panas melampau.
  • Jemaah haji diwajibkan menaiki kenderaan yang disediakan dan tidak dibenarkan keluar dari kawasan masyair di Arafah antara jam 10 pagi hingga 4 petang, termasuk ke Masjid Namira dan Jabal Rahmah.
  • Semua jemaah juga perlu memakai kad Nusuk, dan pihak berkuasa Arab Saudi kini giat memeriksa hotel serta penginapan untuk mengesan jemaah tanpa permit sah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata, peraturan itu dimaklumkan dalam pertemuan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bersama menteri dan ketua rombongan haji negara masing-masing, hari ini.
Ini kerana, katanya, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi meningkatkan keselamatan jemaah haji pada tahun ini supaya kejadian jemaah haji meninggal dunia akibat strok haba tidak lagi berlaku.
Menurutnya, kerajaan Arab Saudi akan meningkatkan sistem pengangkutan dan jemaah haji diminta menaiki kenderaan yang disediakan.
“Keputusan itu dibuat selepas mengambil suhu panas yang dijangka melampau seperti tahun lepas.
“Jemaah haji tidak lagi dibenarkan keluar, khususnya masyair di Arafah, dari 10 pagi sehingga 4 petang.
“Jemaah haji dilarang pergi ke Masjid Namira dan Jabal Rahmah seperti mana kebanyakan jemaah haji kita minat sangat untuk keluar,” kata Mohd Na'im.
Selain itu, kata beliau lagi, semua jemaah haji perlu memakai Kad Nusuk untuk mengelak dikenakan tindakan tegas.
Polis Arab Saudi ketika ini melakukan pemeriksaan di hotel dan penginapan untuk menangkap jemaah haji tanpa permit.
#Haji #Mohd Na'im Mokhtar #Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi #larangan berjalan kaki dari Mekah ke Arafah #strok haba #Kad Nusuk