MALAYSIA

TERKINI HAJI 2025: Kementerian Media Arab Saudi jemput lapan pengamal media Malaysia tunai haji

Wan Syamsul Amly 29/05/2025 | 23:30 MYT
Delegasi Haji Media Malaysia melibatkan agensi media tempatan seperti Astro AWANI, Media Prima, Bernama TV, TV Alhijrah dan Astro Oasis. - Gambar Astro AWANI
SEPANG: Seramai lapan pengamal media terdiri daripada penerbit, wartawan dan jurukamera pelbagai agensi media tempatan berpeluang menunaikan ibadah rukun Islam kelima musim haji tahun 1446/2025M.

Ia merupakan tajaan tahunan Kementerian Media, Kerajaan Arab Saudi kepada pengamal media seluruh dunia yang dikenal pasti telah menyumbang kepada pembangunan ilmiah, bakat, serta peningkatan inovasi dan ejen komunikasi dua hala, antara Kerajaan Arab Saudi dan negara-negara Islam.

Menurut Fasilitator Media, Kementerian Media, Kerajaan Arab Saudi, Datuk Izelan Basar, setiap tahun Kementerian Media menjemput lebih 500 pengamal media pelbagai latar belakang dari seluruh pelosok dunia termasuk agensi-agensi media terkemuka bagi berkumpul dan berkongsi pengalaman unik menjalani ibadah haji serta melaporkan suasana perhimpunan agama terbesar dunia.

"Ini adalah amalan atau tradisi setiap tahun yang dianjurkan oleh Kementerian Media, Kerajaan Arab Saudi.

"Mereka memilih rakan-rakan media dari seluruh dunia, terutama negara Islam untuk hadir dan melalui pengalaman melakukan liputan di tanah suci.

"Kalau ikutkan acara-acara yang pernah dianjurkan pada tahun-tahun sebelum ini, selain menunaikan ibadah haji, media-media dari seluruh dunia dapat merasai pengalaman di belakang tabir seperti persiapan-persiapan musim haji.

"Selain itu, diberi peluang mendapat pengalaman untuk projek projek terkini yang disiapkan atau dibina oleh Kerajaan Arab Saudi menjelang Visi 2030," katanya ketika ditemui sebelum berlepas bersama delegasi media ke Tanah Suci di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di sini, pada Khamis malam.

Tambah beliau, ketika di Jeddah nanti, delegasi media akan diberi taklimat tentang perkembangan terkini Visi Arab Saudi 2030.

Ujarnya, menurut penilaian rasmi terkini, Visi Arab Saudi 2030 telah menyaksikan kemajuan yang luar biasa, dengan 93 peratus daripada petunjuk prestasi utama mencapai sasaran sejak dilancarkan sembilan tahun lalu.

Delegasi Haji Media Malaysia yang diketuai Izelan, melibatkan agensi media tempatan seperti Astro AWANI, Media Prima, Bernama TV, TV Alhijrah dan Astro Oasis.

Delegasi Media Malaysia dijadual berada di Tanah Suci selama 15 hari dan pulang ke tanah air pada 12 Jun ini.

Tawaran menunaikan haji kepada lapan warga media ini melibatkan tajaan sepenuhnya daripada Kementerian Media Kerajaan Arab Saudi.

Kesemua agensi media terlibat akan melaporkan secara langsung urusan ibadah haji serta aktiviti berkaitan dan memaparkan persiapan rapi Kerajaan Arab Saudi di belakang tabir, dalam menyambut tetamu Allah yang dijangka mencecah hampir dua juta umat Islam dari lebih 183 negara.

Pada 6 Mac lalu, jemaah umrah di bulan Ramadan mencatatkan sejarah jumlah tertinggi dalam sehari, dengan 500,000 jemaah menunaikan ibadah itu di Masjidil Haram, Kota Suci Mekah.








#terkini haji 2025 #musim haji 2025 #Kementerian Media Kerajaan Arab Saudi #Media tunai haji