MALAYSIA
TERKINI HAJI 2025: Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia berlepas dari Mekah
Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz, Jeddah pada Sabtu 5.40 pagi waktu tempatan. - Foto Tabung Haji
MEKAH: Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia dijadual berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz, Jeddah pada Sabtu jam 5.40 pagi waktu tempatan.
Pesawat MH8050 yang membawa mereka dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 8.10 malam waktu Malaysia, hari yang sama.
Seramai 277 jemaah melalui penerbangan KT01 itu bergerak dari hotel Al Janadriyah di sini, dengan enam buah bas pada jam 9.50 malam waktu tempatan.
Majlis pelepasan dilakukan oleh Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun dan syarikat Masyarik Al-Masiah.
Sebelum ini, kumpulan pertama itu tiba di Madinah pada 29 April lalu.
Penerbangan terakhir kumpulan jemaah haji Malaysia dijadual berlepas dari Madinah pada 10 Julai jam 10.40 pagi waktu tempatan dan tiba di KLIA pada 12.35 pagi 11 Julai.