MALAYSIA

TERKINI HAJI 2025: Lebih 5,000 sukarelawan kesihatan bantu perkhidmatan kesihatan sepanjang musim haji

Bernama 08/06/2025 | 22:30 MYT
Khidmat sukarelawan merangkumi pelbagai lokasi di kawasan suci termasuk Mekah, Mina, Arafah dan Muzdalifah, selain penglibatan aktif di hospital serta pusat kesihatan.
MINA: Kementerian Kesihatan Arab Saudi memaklumkan, lebih 5,000 sukarelawan kesihatan telah menyertai musim haji tahun ini, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan yang disediakan kepada jemaah.

Menurut Agensi Berita Saudi (SPA), inisiatif ini selaras dengan objektif Program Transformasi Sektor Kesihatan dan Program Pengalaman Jemaah, dua komponen utama dalam Wawasan 2030 Arab Saudi yang bertujuan meningkatkan penyertaan sukarelawan serta memperkukuh peranan mereka dalam memberikan khidmat kepada jemaah.

Kementerian menjelaskan, para sukarelawan telah menyokong perkhidmatan kesihatan dalam tiga bidang utama, iaitu pencegahan, rawatan dan perkhidmatan sokongan.

Khidmat mereka merangkumi pelbagai lokasi di kawasan suci termasuk Mekah, Mina, Arafah dan Muzdalifah, selain penglibatan aktif di hospital serta pusat kesihatan.

-- BERNAMA







#terkini haji 2025 #sukarelawan haji #musim haji 2025 #Wawasan 2030 Arab Saudi