MALAYSIA

TERKINI HAJI 2025: MyBorderPass mudahkan urusan imigresen delegasi media Malaysia tunai haji

Wan Syamsul Amly 30/05/2025 | 08:38 MYT
Dalam pada itu, Izelan berkata warga emas juga seharusnya menyesuaikan diri dengan penggunaan telefon pintar, sekali gus sebagai persediaan jika menjadi tetamu Allah di Mekah kelak. - Foto Astro AWANI/Wan Syamsul Amly
JEDDAH: Penggunaan aplikasi mudah alih MyBorderPass untuk memudahkan proses pelepasan imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) memberi pengalaman baharu kepada delegasi media Malaysia, yang menunaikan ibadah rukun Islam kelima musim haji tahun 1446H/2025M.

Menurut Fasilitator Media, Kementerian Media, Kerajaan Arab Saudi, Datuk Izelan Basar, kemudahan itu telah memberi kelancaran kepada lapan pengamal media, bermula dari Kuala Lumpur ke Tanah Suci.

“Alhamdulillah delegasi media kita dapat satu pengalaman musim haji dengan pelbagai pembaharuan dibuat kerajaan Malaysia bermula di Kuala Lumpur hingga Arab Saudi.

"Kita dapat satu pengalaman guna MyBorderPass. Di Arab Saudi, makin canggih (teknologi)," katanya ketika ditemui di sini pada Jumaat.

MyBorderPass merupakan aplikasi mudah alih yang diperkenalkan oleh Kementerian Dalam Negeri awal tahun ini untuk memudahkan proses pelepasan imigresen di KLIA.

Aplikasi ini bukan sahaja menyimpan maklumat perjalanan, tetapi juga membolehkan pengesahan wajah untuk keselamatan tambahan.

Penggunaan MyBorderPass kini menjadi keperluan bagi warganegara Malaysia yang ingin menggunakan sistem kod QR di KLIA, dan melalui aplikasi tersebut, kod QR akan dijana untuk diimbas pada 'autogate'.

Dalam pada itu, Izelan berkata warga emas juga seharusnya menyesuaikan diri dengan penggunaan telefon pintar, sekali gus sebagai persediaan jika menjadi tetamu Allah di Mekah kelak.

Jelas beliau, ia bagi memastikan golongan itu mesra dengan aplikasi berkenaan dan melancarkan proses melibatkan haji nanti.

"Warga media Malaysia juga seharusnya menggunakan peluang yang ada untuk mempelajari teknologi terkini dunia media massa yang sudah diguna pakai Kerajaan Arab Saudi.

"Ia termasuk studio canggih serta penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang sudah diaplikasi dan digunakan meluas dalam agensi media Arab Saudi," tambahnya.

Delegasi Haji Media Malaysia yang diketuai Izelan, melibatkan agensi media tempatan seperti Astro AWANI, Media Prima, Bernama TV, TV Alhijrah dan Astro Oasis.

Delegasi Media Malaysia dijadual berada di Tanah Suci selama 15 hari dan pulang ke tanah air pada 12 Jun ini.






#terkini haji 2025 #MyBorderPass #musim haji