MALAYSIA
TERKINI HAJI 2025: Peniaga martabak jual rumah demi capai impian 25 tahun jadi tetamu Allah
Yahya turut meluahkan rasa syukur kerana berjaya menyempurnakan nafar thani bersama isteri walaupun dalam usia emas. - Foto BERNAMA
MEKAH: Demi mencapai impian menunaikan Rukun Islam kelima, Yahya Che An sanggup menjual sebuah rumahnya agar dapat menunaikan ibadah haji bersama isteri tercinta, sekali gus memberi makna sebenar kepada sebuah pengorbanan.
Yahya, 71, seorang peniaga martabak di Batang Kali, Selangor, berkata beliau nekad melepaskan satu daripada dua rumah miliknya kepada anaknya pada harga RM100,000 bagi merealisasikan impian yang dipendam selama 25 tahun bersama isteri Nor Aini Abdullah, 66.
"Saya takut Allah SWT tanya kenapa tidak tunaikan haji, sedangkan kita ada kemampuan tetapi tidak pergi. Kita tiada peguam bela di sana, sebab itulah saya sanggup jual rumah.
"Saya beritahu isteri, kita sudah tiada apa-apa lagi di dunia ini. Apa yang tinggal hanyalah amal ibadah. Ini duit titik peluh beli rumah, memang sedih nak lepaskan, tapi bila dah sampai sini, saya syukur sangat-sangat kerana telah sempurnakan Rukun Islam kelima," katanya ketika ditemui media di Hotel Abraj Al-Janadriyah selepas tiba dari Mina pada Isnin,
Yahya turut meluahkan rasa syukur kerana berjaya menyempurnakan nafar thani bersama isteri walaupun dalam usia emas serta berdepan cabaran kesihatan termasuk sakit lutut dan keletihan fizikal yang ketara.
"Paling mencabar ketika berada di Mina, terpaksa beratur lama untuk menggunakan tandas, badan pula sudah tidak sekuat dulu. Untuk ibadah melontar, saya minta bantuan anak saudara sebab kami dinasihatkan agar tidak pergi sendiri memandangkan cuaca sangat panas, mencecah 42 darjah Celsius," katanya.
Yahya berkata hasrat menunaikan haji telah lama terpahat dalam dirinya namun terpaksa ditangguhkan demi memberi tumpuan sepenuhnya kepada tanggungjawab membesarkan enam orang anak.
"Alhamdulillah, kesemua anak telah berjaya melangkah ke menara gading. Ada yang sudah bekerja, dan ada juga yang sedang melanjutkan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah, semuanya membesar menjadi insan yang baik," katanya penuh syukur.
Menurut Yahya, sebelum berniaga martabak, beliau pernah bekerja sebagai pemandu lori dan mula menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan selepas menerima wang persaraan.
"Selepas bersara, saya mula berniaga martabak menggunakan kereta Perodua Kancil sejak 2009 di Batang Kali, tetapi sekarang kudrat pun dah tak sekuat dulu," katanya tenang.
Bermula semalam, jemaah haji Malaysia yang memilih untuk melaksanakan nafar thani telah mula kembali secara berperingkat ke maktab penginapan masing-masing di Mekah selepas selesai melontar jamrah pada 13 Zulhijjah di Mina.
Sebaik tiba, jemaah haji Malaysia akan melaksanakan tawaf dan saie haji bagi melengkapkan keseluruhan rukun haji sebelum pulang ke tanah air.
-- BERNAMA