MALAYSIA
TERKINI HAJI 2025: Sebanyak 50 peratus jemaah Malaysia laksana Nafar Awwal

Nafar Awwal bermaksud jemaah haji yang meninggalkan Mina lebih awal iaitu pada 12 Zulhijjah 1446H. - Gambar/ Astro AWANI
MINA: Sebanyak 50 peratus jemaah haji Malaysia akan melaksanakan Nafar Awwal pada 12 Zulhijjah bersamaan 8 Jun 2025.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar memaklumkan keadaan ini akan memudahkan pengurusan pergerakan jemaah oleh Tabung Haji.
“50 peratus jemaah haji yang melaksanakan Nafar Awwal akan bergerak balik ke maktab... ke hotel masing-masing bermula pada jam 6.30 pagi esok,” katanya ketika ditemui selepas melawat Khemah Jemaah Haji Malaysia di Mina pada Sabtu.
Nafar Awwal bermaksud jemaah haji yang meninggalkan Mina lebih awal iaitu pada 12 Zulhijjah 1446H.Ia dilakukan selepas jemaah melengkapkan lontaran hari ke-12 Zulhijjah di Jamrah Kubra sebelum matahari terbenam.
Ini adalah pilihan bagi jemaah yang mahu kembali ke Mekah atau melanjutkan perjalanan lebih awal dengan syarat telah memenuhi semua rukun haji dan meninggalkan Mina sebelum waktu senja.
Situasi ini akan membahagikan 31,600 jemaah Malaysia kepada dua kumpulan dan ia memudahkan pengurusan pergerakan selain penempatan.
Jemaah yang melakukan Nafar Thani dan kekal di Mina akan lebih selesa dengan ruang yang ditinggalkan jemaah Nafar Awwal yang pulang ke hotel penginapan masing-masing.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami