MALAYSIA

TERKINI HAJI 2025: TH pastikan tiada jemaah tertinggal - Mohd Na'im

Azizul Azwa 02/06/2025 | 07:59 MYT
Mohd Na'im (dua, kanan) berucap pada pelancaran Kempen Kebersihan Masyair di Hotel Abraj Al Tayseer, di sini hari ini.
MEKAH: Tabung Haji (TH) akan memastikan tiada jemaah haji yang tertinggal, ketika pergerakan ke Masyair iaitu Arafah, Muzalifah dan Mina.


Ringkasan AI
  • Tabung Haji pastikan semua jemaah mendapat pengangkutan: Susulan larangan kerajaan Arab Saudi terhadap jemaah berjalan kaki untuk mengelak strok haba, jumlah pengangkutan awam akan dipastikan mencukupi.
  • Permit Nusuk diwajibkan untuk kawalan lebih baik: Kerajaan Arab Saudi yakin dengan langkah ini dapat mengenal pasti jumlah jemaah haji sebenar dan menghalang cubaan memasuki Tanah Suci tanpa kebenaran.
  • Kempen kebersihan Malaysia mendapat pengiktirafan: Sejak 2017, Kempen Kebersihan Masyair yang dianjurkan Tabung Haji mendapat pengiktirafan kerajaan Arab Saudi kerana tahap kebersihan tinggi khemah jemaah Malaysia.


Ini selepas, kerajaan Arab Saudi untuk pertama kali melarang semua jemaah berjalan kaki bagi mengelak kejadian strok haba sehingga berlaku kematian seperti tahun lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, Kementerian Pengangkutan Arab Saudi turut beri komitmen menyediakan jumlah pengangkutan awam yang mencukupi.

Katanya, komitmen kerajaan Arab Saudi itu berdasarkan keyakinan dapat mengenal pasti jumlah jemaah haji sebenar, selepas mewajibkan setiap jemaah haji perlu memiliki permit Nusuk.

“Saya yakin bila dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan Arab Saudi sebagai tak boleh buat haji kalau tiada permit. Akibat daripada iti saya ingat cubaan mereka yang cuba masuk ke Tanah Suci ini akan dapat dihalang.

“Jadi jumlah yang ada di Tanah Suci ini, mereka yang ada permit yang sah dan jumlah tidak seperti tahun-tahun lepas. Jadi dalam kawalan,” katanya.

Pelancaran Kempen Kebersihan Masyair di Hotel Abraj Al Tayseer, di sini hari ini. - Foto Astro AWANI


Ketika ditanya, jika ada jemaah haji Malaysia gagal menaiki pengangkutan awam, beliau berkata, Tabung Haji juga memiliki pengangkutan sendiri yang sedia memberikan perkhidmatan.

Beliau berkata demikian selepas Pelancaran Kempen Kebersihan Masyair di Hotel Abraj Al Tayseer, di sini.

Kempen ini dimulakan sejak tahun 2017, mendapat pengiktirafan daripada kerajaan Arab Saudi, selepas mendapati kebersihan di khemah Malaysia selepas musim haji.

Rombongan haji Malaysia memulakan pergerakan ke Arafah pada Rabu ini.





#Tabung Haji #tiada jemaah haji yang tertinggal #Mohd Na im Mokhtar #Kerajaan Arab Saudi