Skip to main content
Advertisement

Malaysia

[TERKINI] Hannah Yeoh kenang Tun Dr Siti Hasmah sebagai lambang keanggunan, kekuatan dan kasih sayang

Tun Dr Siti Hasmah Friends of BN - Barisan Nasional
Hannah Yeoh menyifatkan Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah (foto) sebagai seorang tokoh yang memiliki keanggunan, ketenangan dan kewibawaan luar biasa sehingga disayangi rakyat pelbagai lapisan. -Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh menyifatkan Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali sebagai seorang tokoh yang memiliki keanggunan, ketenangan dan kewibawaan luar biasa sehingga disayangi rakyat pelbagai lapisan.

Menerusi satu hantaran di media sosial, Hannah berkata kenangan awal beliau terhadap Allahyarham adalah sebagai individu yang sentiasa memberikan sokongan dan kasih sayang kepada atlet negara, khususnya pasukan badminton kebangsaan.

"Sebelum saya mengenali beliau secara peribadi, ingatan saya tentang Tun Dr Siti Hasmah ialah sosok yang sering bersama pasukan badminton negara. Beliau menyayangi mereka dengan tulus," katanya.

Hannah berkata peluang mengenali Allahyarham dengan lebih dekat hadir selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018 yang menyaksikan perubahan politik negara.

Beliau menyifatkan Tun Dr Siti Hasmah sebagai seorang wanita yang tidak perlu memperagakan keanggunannya, tidak perlu melaungkan keyakinannya dan tidak perlu meninggikan suara untuk menunjukkan kekuatan diri.

"Tutur katanya sentiasa lembut. Namun apabila beliau berbicara, orang mendengar. Begitulah kewibawaan yang lahir bukan daripada kelantangan tetapi daripada ketenangan.

"Yang paling saya ingat ialah kebaikan hatinya. Beliau tidak cepat menghukum. Beliau bertanya tentang diri kita kemudian benar-benar mendengar jawapannya," katanya.

Hannah turut menzahirkan ucapan takziah kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan seluruh ahli keluarga serta mendoakan mereka diberikan kekuatan menghadapi kehilangan itu.

"Terima kasih kerana berkongsi seorang Tun Dr Siti Hasmah dengan Malaysia," katanya.

Must Watch Video

Advertisement