23 Delegasi Malaysia Bebas dari Israel, Kini di Istanbul untuk Pemeriksaan & Sokongan – Ikuti Perkembangan Terkini di sini
MALAYSIA

[TERKINI] "Jangan risau sangat" - Mesej, lambaian keluarga delegasi Malaysia iringi konvoi FFC hampiri zon kuning

Asyraf Malik 04/10/2025 | 12:37 MYT
Ketua Pegawai Eksekutif MyCARE, Kamarul Zaman Shaharul Anwar menyantuni sembilan delegasi Malaysia di atas kapal Conscience dan Umm Saad menerusi panggilan video. - Bernama
SERI KEMBANGAN: "Support us, doakan kami. Kepada keluarga semua, we love you, jangan risau sangat."

Demikian amanat pakar perbidanan dan sakit puan, Dr Fauziah Mohd Hassan yang disampaikan menerusi panggilan video ketika sidang media berkaitan misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) di sini, pada Sabtu.

Dalam program dianjurkan MyCARE itu, ahli keluarga kepada sembilan rakyat Malaysia yang menyertai misi FFC dikumpulkan di bawah satu bumbung untuk mengikuti taklimat terkini disampaikan.

"Doakan kami selamat dan objektif misi ini tercapai. InsyaAllah kami mencuba pelbagai strategi untuk menghadapi sebarang cabaran," tambah Dr Fauziah yang menaiki kapal Conscience menuju Gaza.

Sementara itu, Dr Maziah Muhammad yang menaiki kapal Umm Saad turut mengambil peluang memberikan mesej ringkas, memohon doa selaku senjata umat Islam.

"Sama-sama doakan kami berjaya," ujar Dr Maziah kepada kenalan dan hadirin lain.

Untuk rekod, konvoi misi kemanusiaan FFC dijangka memasuki zon kuning, iaitu 300 batu nautika dari persisiran Gaza dalam tempoh 24 jam, setakat petang Sabtu.

Difahamkan kapal Conscience membawa bantuan perubatan dan makanan bayi untuk penduduk Gaza, kesemuanya bernilai sekitar RM500,000.

Delegasi Malaysia menaiki kapal Conscience antaranya Profesor Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi, Profesor Dr Mohd Afandi Salleh, Dr Noorhasyimah Ismail dan Norsham Abu Bakar.

Keseluruhan anak kapal Conscience terdiri daripada 10 kru, 20 wartawan antarabangsa, 21 pakar perubatan, tiga ahli Parlimen Turkiye, 34 aktivis dan enam Jawatankuasa Pemandu FFC.




#Freedom Flotilla Coalition #bantuan kemanusiaan #MyCare #rejim Zionis #Gaza #Israel #Global Sumud Flotilla