[TERKINI] Kapal FFC, Thousand Madleens diserbu Israel, 8 delegasi Malaysia terlibat
MALAYSIA

[TERKINI] Kapal FFC diserbu tentera Israel, komunikasi dengan aktivis terputus - MyCARE

Nina Rozman 08/10/2025 | 03:48 MYT
Maklumat daripada pusat kawalan Flotilla di Istanbul menyatakan. kapal Conscience merupakan antara kapal pertama yang dipintas, diikuti kapal Umm Saad, Milad, Algo dan Maiden.
KUALA LUMPUR: Misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dilaporkan dipintas oleh tentera Israel, dengan insiden berlaku sekitar 10.30 hingga 10.50 pagi waktu Malaysia.

Maklumat daripada pusat kawalan Flotilla di Istanbul menyatakan. kapal Conscience merupakan antara kapal pertama yang dipintas, diikuti kapal Umm Saad, Milad, Algo dan Maiden.

Secara keseluruhan, sembilan buah kapal menyertai konvoi misi kemanusiaan ini menuju Gaza.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar, tentera Israel menggunakan helikopter untuk mendekati kapal bersaiz besar seperti Conscience, kerana ketinggiannya tidak membolehkan anggota tentera menaiki dari bot kecil.

Bagi kapal berskala lebih kecil, mereka dipercayai menggunakan bot laju jenis Zodiac bagi melaksanakan operasi pemintasan.

“Kalau kapal kecil, mereka datang dengan bot tapi kapal Conscience tinggi… sebab itu mereka guna helikopter, sama seperti operasi terhadap Mavi Marmara dahulu,” kata beliau.

Konvoi Flotilla itu difahamkan baru sahaja memasuki kawasan sekitar 115 batu nautika dari Gaza lewat malam tadi dan dijangka menghampiri zon merah 100 batu nautika menjelang tengah hari.

Namun, tentera Israel dilaporkan memintas lebih awal daripada jangkaan.

“Kami menerima maklumat sekitar setengah jam lalu, kapal Conscience telah dipintas, sementara kapal lain masih dikesan berhampiran.

"Ketika ini, kami semakin kehilangan komunikasi dengan dua kapal tersebut,” tambah sumber itu.

Setakat ini, MyCARE Malaysia mengesahkan tiada komunikasi langsung dapat dilakukan dengan delegasi Malaysia yang berada dalam konvoi tersebut.

Difahamkan terdapat sembilan wakil Malaysia, termasuk lapan di atas kapal Conscience dan seorang di kapal Umm Saad.

MyCARE memaklumkan, akan menggerakkan semua saluran yang ada dan memaklumkan segera kepada Wisma Putra serta pusat kawalan flotilla di Istanbul bagi tindakan susulan.

“Kami akan memaklumkan kepada Wisma Putra dan pusat kawalan di Istanbul untuk lakukan urusan yang perlu, Insya-Allah,” kata wakil MyCARE.

Pihak MyCARE juga akan mengadakan sidang media khas pada jam 12 tengah hari ini bagi memberikan perkembangan lanjut mengenai status keselamatan kesemua delegasi Malaysia.




#Global Sumud Flotilla #Freedom Flotilla Coalition #kapal FFC #tentera Israel serbu #Kapal Conscience #Conscience Flotilla