MALAYSIA
[TERKINI] Kerajaan Selangor batal projek ternakan babi Bukit Tagar - MB
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari menyampaikan ucapan pada Majlis Amanat Tahun Baharu Negeri Selangor 2026 di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7 hari ini. - Foto Bernama
SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor membatalkan sementara projek penternakan babi di Bukit Tagar susulan kegusaran dan bantahan orang ramai, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata kerajaan negeri membuat keputusan itu sementara mencari lokasi baharu, selain keperluan mengadakan perbincangan bersama dengan pengusaha ternakan serta memberikan penjelasan kepada semua pihak atas salah faham yang timbul.
"Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ada hubungi saya melalui telefon ketika saya berada di luar negara. Isu itu dah melampaui daripada hal sebenar dan realiti sebenar, jadi kita tangguh dan batalkan buat sementara, setelah kita dapat pilihan tapak ataupun kaedah lain," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2026 di Dewan Raja Muda Musa, di sini hari ini.
Amirudin berkata Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) juga telah mengarahkan Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri Datuk Izham Hashim mencari kawasan alternatif bagi projek berkenaan.
"Pada hari Rabu (lepas), MMKN memang telah memberikan arahan untuk mencari alternatif kawasan kerana kita lihat ada bantahan keras, kemudian diikuti pula dengan cadangan Perdana Menteri yang saya sambut baik," katanya.
Amirudin berkata isu berkenaan masih pada peringkat awal dan belum dimuktamadkan kerana tiada kertas kerja atau kelulusan rasmi dikemukakan, namun persepsi awam bahawa projek akan dilaksanakan segera telah menyebabkan kekeliruan dan mendorong kerajaan negeri mengambil pendekatan lebih berhati-hati.
"Isu ini jadi pramatang. Penglibatan dengan masyarakat, penilaian impak sosial (SIA) dan proses lain sepatutnya dibuat terlebih dahulu. Kita akui mungkin ada pengumuman yang mendahului proses sepatutnya," katanya.
Beliau bagaimanapun, menafikan dakwaan sinis bahawa projek di Bukit Tagar akan dibangunkan seperti "hotel babi", sambil menekankan bahawa keutamaan kerajaan negeri adalah untuk menjaga kepentingan semua pihak secara adil.
Selain itu, Amirudin berkata kerajaan negeri tidak bercadang membangunkan projek penternakan berskala besar seperti yang digambarkan sesetengah pihak.
"Bukan mega, bukan besar-besaran. Anggaran mungkin kira-kira 20 hingga 30 peratus (keperluan) sahaja. Dakwaan 'mega' itu berlebihan," katanya sambil menambah bahawa matlamat utama kerajaan negeri adalah untuk menyusun semula penternakan babi yang berselerak bagi mengawal isu kebersihan dan alam sekitar.
Pada 10 Jan, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita dan tidak bersetuju dengan perancangan kerajaan negeri yang membenarkan operasi penternakan babi di Tanjong Sepat, Kuala Langat, bermula tahun ini, sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar pada 2030.
Sementara itu, pada Jumaat lepas, Perdana Menteri mengesyorkan supaya projek ternakan babi berpusat di Bukit Tagar yang menimbulkan keresahan masyarakat setempat dibatalkan terlebih dahulu ataupun dipindahkan di kawasan baharu yang lebih baik.
-- BERNAMA