[TERKINI] Kes Zara Qairina: JSJ Bukit Aman Ambil Alih Siasatan – Ikuti Perkembangan Di Sini
MALAYSIA

[TERKINI] Kes Zara Qairina: 'Jalani siasatan tanpa rasa takut, hukum pesalah' - Musa Aman

Asyraf Malik 11/08/2025 | 10:52 MYT
Musa serta isteri, Toh Puan Faridah Tussin turut merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga Zara. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman menyeru siasatan Allahyarham Zara Qairina dilaksanakan dengan penuh ketelusan serta ketelitian meliputi setiap aspek, tanpa rasa takut atau pilih kasih.

Menuntut keadilan bukanlah satu bentuk pembalasan, ia adalah suatu perintah Allah untuk melindungi yang lemah dan menghukum mereka yang bersalah, tegas beliau.

Dalam pada itu, Istana Seri Kinabalu juga menyeru agar semua pihak memberi ruang kepada proses undang-undang untuk berjalan dengan adil, serta berdiri seiring dengan keluarga Zara dalam mencari jawapan dan penyelesaian kes ini.

"Orang ramai terutamanya pengguna media sosial tidak wajar membuat sebarang spekulasi, menyebarkan tuduhan tidak berasas atau menggalakkan teori konspirasi berhubung kes ini.

"Tindakan sedemikian bukan sahaja boleh menggugat integriti siasatan malah boleh menyebabkan kesedihan yang lebih mendalam kepada keluarga Zara yang sedang berduka," ujar beliau dalam satu kenyataan pada Isnin.

Musa serta isteri, Toh Puan Faridah Tussin turut merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga Zara, menurut kenyataan itu lagi.

Sementara itu, Majlis Tahlil dan Doa Peringkat Negeri untuk Allahyarham Zara akan diadakan pada Khamis (14 Ogos 2025) selepas solat Maghrib di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu.




#Kes Zara Qairina #kes buli Zara Qairina #Tun Musa Aman #kenyataan Istana Seri Kinabalu berhubung Zara Qairina