[TERKINI] Najib Razak kekal di Penjara Kajang
MALAYSIA

[TERKINI] Konflik Thai-Kemboja: Menteri-menteri Luar ASEAN tiba, Tok Mat pengerusikan mesyuarat khas

Hasimi Muhamad 22/12/2025 | 03:10 MYT
Datuk Seri Mohamad Hasan yang diiringi Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Seri Amran Mohamed Zin, tiba pada jam 10.42 pagi. - Foto Wisma Putra
KUALA LUMPUR: Menteri-menteri Luar dan Pegawai Kanan ASEAN telah tiba di ibu negara bagi menghadiri mesyuarat khas untuk membincangkan situasi terkini antara Kemboja dan Thailand.


Ringkasan AI
  • Menteri Luar dan Pegawai Kanan ASEAN tiba di Malaysia untuk mesyuarat khas membincangkan situasi antara Kemboja dan Thailand.
  • Mesyuarat itu dihadiri oleh 23 Menteri Luar dan pegawai ASEAN termasuk Setiausaha Agung ASEAN.
  • Konflik sempadan antara Kemboja dan Thailand menyebabkan 22 orang Thailand dan 19 orang Kemboja terkorban bulan ini.


Petugas media mula berkumpul seawal jam 8 pagi di kawasan sekitar lokasi bagi membawa perkembangan hasil mesyuarat khas berkenaan.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang diiringi Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Seri Amran Mohamed Zin, tiba pada jam 10.42 pagi.

Beliau akan mempengerusi mesyuarakan khas berkenaan yang dijadual dihadiri seramai 23 Menteri Luar dan pegawai, termasuk Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn.

Sementara itu, Menteri Luar Thailand, Sihasak Phuangketkeow dilihat tiba sekitar jam 10.25 pagi hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan pada jam 10.40 pagi.

Kementerian Luar Kemboja pada Ahad mengesahkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luarnya, Prak Sokhonn juga akan menghadiri mesyuarat berkenaan.

Selain itu, Menteri-menteri Luar lain yang dijadual hadir adalah Sugiono dari Indonesia, Thongsavanh Phomvihane (Laos), Bendito dos Santos Freitas (Timor-Leste) serta Setiausaha Hal Ehwal Luar
Filipina, Theresa P. Lazaro.

Brunei pula dijangka diwakili oleh Menteri Kedua Hal Ehwal Luar Negeri, Dato Seri Setia Erywan Pehin Datu Pekerma Jaya Mohd Yusof, manakala Vietnam akan menghantar Timbalan Menteri Luar, Dang Hoang Giang.

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan pada Ahad memaklumkan mesyuarat khas itu adalah susulan persetujuan yang dicapai oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Kemboja dan Thailand pada 11 Disember lalu.

“Ia akan memberikan satu wadah kepada Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN untuk bertukar pandangan mengenai situasi semasa antara Kemboja dan Thailand, serta mempertimbangkan langkah-langkah yang boleh diambil oleh ASEAN bagi menyokong usaha berterusan untuk meredakan ketegangan dan menghentikan permusuhan, demi keamanan dan kestabilan antara kedua-dua negara anggota ASEAN itu serta rantau ini secara keseluruhan,” menurut kenyataan itu.

Wisma Putra menambah, sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia kekal komited memainkan peranan yang konstruktif dalam memudah cara dialog berlandaskan semangat ASEAN.

Selain itu, membantu kedua-dua pihak agar terus menjunjung prinsip undang-undang antarabangsa, hubungan kejiranan yang baik termasuk kewujudan bersama secara aman, serta kerjasama dua hala dan pelbagai hala ke arah mencapai penyelesaian yang aman, adil dan berkekalan terhadap sebarang pertikaian.

Pertempuran kembali tercetus antara jiran Asia Tenggara itu bulan ini termasuk penggunaan kereta kebal, dron dan artileri, mengakibatkan sekurang-kurangnya 22 orang di Thailand dan 19 orang di Kemboja terkorban.

Konflik itu berpunca daripada pertikaian wilayah berhubung sempadan sepanjang 800 kilometer yang ditetapkan sejak zaman kolonial serta beberapa tapak runtuhan kuil purba yang terletak di sempadan berkenaan.






#konflik Thailand-Kemboja #ASEAN #Mesyuarat Khas #Mohamad Hasan