[TERKINI] Najib Razak kekal di Penjara Kajang
MALAYSIA

[TERKINI] Konflik Thai-Kemboja: Mesyuarat GBC pada 24 Disember, bincang pelaksanaan gencatan senjata

Hasimi Muhamad 22/12/2025 | 09:38 MYT
Mohamad berkata, Malaysia bersama negara-negara anggota ASEAN, mengalu-alukan perbincangan ke arah penyambungan semula gencatan senjata serta pemberhentian semua bentuk permusuhan melibatkan Kemboja dan Thailand. - Sumber foto FB Mohamad Hasan
KUALA LUMPUR: Satu Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) akan diadakan pada Rabu bagi membincangkan pelaksanaan serta pengesahan gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand dalam usaha meredakan konflik di sempadan kedua-dua negara.


Ringkasan AI
  • Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) dijadual pada Rabu bagi membincangkan gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand dalam usaha meredakan konflik di sempadan negara berkenaan.
  • Malaysia dan negara-negara ASEAN menyokong penyambungan gencatan senjata serta pemberhentian permusuhan di antara Kemboja dan Thailand untuk memastikan keamanan dan keselamatan di rantau ASEAN terpelihara.
  • Menteri Luar menyeru kedua-dua negara untuk menunjukkan kawalan diri, pulihkan kepercayaan, dan kembali kepada dialog untuk mencapai penyelesaian aman terhadap konflik sempadan mereka yang telah mengorbankan nyawa dan merosakkan infrastruktur awam.

Klik di sini untuk FAQ berkaitan artikel ini

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar dan Pegawai Kanan ASEAN, yang berlangsung di ibu negara pada Isnin.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia bersama negara-negara anggota ASEAN, mengalu-alukan perbincangan ke arah penyambungan semula gencatan senjata serta pemberhentian semua bentuk permusuhan melibatkan Kemboja dan Thailand.

Menurut beliau, Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN menyatakan harapan agar usaha mengurangkan ketegangan dapat dicapai dengan segera demi memastikan keamanan, kestabilan dan keselamatan di rantau ASEAN terus terpelihara.

"Mesyuarat juga menggesa Kemboja dan Thailand untuk menunjukkan tahap kawalan diri yang maksimum dan mengambil langkah-langkah segera ke arah pemberhentian semua bentuk permusuhan.

"Mesyuarat menyeru kedua-dua negara untuk memulihkan kepercayaan dan keyakinan bersama, serta kembali kepada dialog, termasuk melalui mekanisme dua hala dan dengan memanfaatkan jasa baik Pengerusi ASEAN," katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Selaku Pengerusi ASEAN, Mohamad menambah, bahawa Menteri-Menteri Luar ASEAN juga menyeru agar kedua-dua negara melaksanakan langkah-langkah mengurangkan ketegangan ketenteraan di sepanjang sempadan bersama di bawah pemerhatian Pasukan Pemerhati ASEAN (AOT), serta menjunjung prinsip undang-undang antarabangsa.

Tegas Mohamad, pendekatan tersebut penting bagi mencapai penyelesaian yang aman dan berkekalan terhadap situasi sempadan Thailand dan Kemboja.

Mesyuarat khas berkenaan, menurut beliau, menggesa Kemboja dan Thailand supaya melaksanakan sepenuhnya dan secara berkesan semua ketetapan yang telah dipersetujui, termasuk Perjanjian Damai Kuala Lumpur. yang ditandatangani pada 26 Oktober lalu, sewaktu Sidang Kemuncak ASEAN 2025 (ke-47).

"Mesyuarat khas menyatakan kebimbangan serius terhadap ketegangan dan permusuhan yang berterusan, yang telah mengakibatkan korban yang ketara, kerosakan kepada infrastruktur awam, serta pemindahan penduduk awam di kedua-dua belah sempadan.

"Sehubungan itu, (Menteri-Menteri Luar ASEAN) menyeru kedua-dua pihak untuk memastikan orang awam yang menetap di kawasan sempadan yang terjejas dapat kembali, tanpa halangan serta dalam keadaan selamat dan bermaruah, ke rumah dan mata pencarian mereka dipulihkan, sebagaimana sebelum tercetusnya permusuhan," tambahnya.

Dalam masa sama, beliau menjelaskan mesyuarat khas menegaskan semula komitmen terhadap perpaduan dan solidariti ASEAN, serta kepusatan ASEAN dalam memastikan keamanan, keselamatan, kestabilan dan kemakmuran serantau, selaras dengan Piagam ASEAN.

Katanya lagi, Menteri-Menteri Luar menghargai peranan proaktif dan penglibatan berterusan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dengan penyertaan aktif anggota ASEAN dan China dalam mempromosikan penyelesaian secara aman terhadap situasi yang sedang berlaku.

Pertempuran kembali tercetus antara jiran Asia Tenggara itu bulan ini termasuk penggunaan kereta kebal, dron dan artileri, mengakibatkan sekurang-kurangnya 22 orang di Thailand dan 19 orang di Kemboja terkorban.

Konflik itu berpunca daripada pertikaian wilayah berhubung sempadan sepanjang 800 kilometer yang ditetapkan sejak zaman kolonial serta beberapa tapak runtuhan kuil purba yang terletak di sempadan berkenaan.

Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
  • Q: Apakah yang akan dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) yang dijadualkan pada Rabu ini?
    A: Pembahasan dalam Mesyuarat GBC akan merangkumi pelaksanaan dan pengesahan gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand bagi meredakan konflik di sempadan kedua-dua negara.
  • Q: Apakah tindakan yang telah diputuskan dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar dan Pegawai Kanan ASEAN yang berlangsung di ibu negara?
    A: Tindakan yang diputuskan termasuklah menyambut baik perbincangan untuk menyambung gencatan senjata serta menghentikan semua bentuk permusuhan antara Kemboja dan Thailand.
  • Q: Berapakah jumlah korban yang terbunuh dalam pertempuran terkini antara Thailand dan Kemboja?
    A: Sekurang-kurangnya 22 orang di Thailand dan 19 orang di Kemboja dilaporkan terkorban dalam pertempuran terkini antara kedua-dua negara.
  • Q: Apakah yang ditekankan oleh Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN dalam usaha meredakan ketegangan di sempadan Thailand dan Kemboja?
    A: Mesyuarat menekankan pentingnya menjaga kawalan diri yang maksimum, mengambil langkah segera untuk menghentikan permusuhan, dan memulihkan kepercayaan serta kembali kepada dialog antara Kemboja dan Thailand.
  • Q: Apa yang dituntut oleh Mesyuarat Khas terhadap kedua-dua negara dalam menangani situasi di sempadan mereka?
    A: Mesyuarat Khas menuntut agar Kemboja dan Thailand melaksanakan sepenuhnya dan berkesan ketetapan yang telah dipersetujui, termasuk Perjanjian Damai Kuala Lumpur, serta memastikan orang awam di kawasan sempadan yang terjejas dapat kembali dalam keadaan selamat dan bermaruah.



#konflik Thailand-Kemboja #Mohamad Hasan #Pasukan Pemerhati ASEAN #Perjanjian Damai Kuala Lumpur