[INFO BANJIR] Dapatkan info terkini cuaca dan banjir seluruh negara
MALAYSIA

[TERKINI] KPT sedia kemudahan PdP, aktif bilik gerakan bantu warga IPT terjejas banjir

Bernama 24/11/2025 | 13:30 MYT
KPT menyeru semua warga IPT yang terkesan agar sentiasa menjaga keselamatan diri, berada di kawasan selamat, serta mematuhi arahan pihak berkuasa dan pasukan keselamatan. - Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberi kelonggaran kepada semua institusi pendidikan tinggi (IPT) yang terjejas akibat banjir untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian, bagi memastikan kesinambungan pembelajaran pelajar tidak terganggu.


Ringkasan AI
  • Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberi kelonggaran kepada institusi pendidikan tinggi (IPT) yang terjejas akibat banjir untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian bagi memastikan kesinambungan pembelajaran pelajar tidak terganggu.
  • Banjir yang melanda beberapa negeri di Pantai Timur dan utara Semenanjung memberi impak kepada beberapa IPT, menyebabkan pengoperasian premis dan pelaksanaan PdP terjejas.
  • KPT aktifkan bilik gerakan banjir di IPT yang terlibat untuk memudahkan pelajar, kakitangan, dan ibu bapa mendapatkan maklumat serta bantuan segera, termasuk makanan, tempat perlindungan sementara, dan keperluan asas.


KPT memaklumkan bahawa perkembangan banjir yang melanda beberapa negeri di Pantai Timur dan utara Semenanjung dipantau dengan teliti sejak beberapa hari lalu susulan hujan lebat berterusan.

Menurut KPT, situasi banjir kali ini bukan sahaja menjejaskan kawasan bandar dan kediaman, malah turut memberi impak kepada beberapa IPT yang dinaiki air, sekali gus menjejaskan pengoperasian premis serta pelaksanaan PdP.

"Pada masa sama, bilik gerakan banjir di IPT yang terlibat turut diaktifkan bagi memudahkan pelajar, kakitangan, dan ibu bapa mendapatkan maklumat terkini berkaitan situasi semasa serta penyaluran bantuan segera, khususnya makanan, tempat perlindungan sementara dan keperluan asas bagi pelajar serta warga IPT," menurut kenyataan KPT di sini hari ini.

KPT turut menyeru semua warga IPT yang terkesan agar sentiasa menjaga keselamatan diri, berada di kawasan selamat, serta mematuhi arahan pihak berkuasa dan pasukan keselamatan.

"Seluruh warga kementerian mendoakan agar semua mangsa banjir di negeri-negeri terlibat diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian ini," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA




#hujan lebat #mangsa banjir #mati lemas #pengajaran dan pembelajaran