Skip to main content

Malaysia

[TERKINI] Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan bermesyuarat esok

Sumber: BERNAMA
Mesyuarat tersebut melibatkan Yeoh, Peguam Negara dan tiga ahli yang dilantik oleh Yang Dipertuan Agong. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh mengesahkan bahawa Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan akan mengadakan mesyuarat pada 11 September ini.

“Ya, saya boleh mengesahkan bahawa mesyuarat tersebut akan diadakan pada jam 8.30 pagi,” katanya.

Yeoh bagaimanapun enggan mendedahkan sama ada mesyuarat tersebut akan membincangkan sebarang permohonan daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk ditempatkan di dalam tahanan rumah.

“Buat masa sekarang, saya hanya boleh mengesahkan bahawa mesyuarat akan diadakan esok,” katanya.

Mesyuarat tersebut melibatkan Yeoh selaku menteri yang bertanggungjawab, di samping Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar serta tiga ahli yang dilantik oleh Yang Dipertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Najib mula menjalani hukuman penjara pada 23 Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadapnya berhubung kes SRC International Sdn. Bhd.

Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan kemudian mengurangkan hukuman tersebut kepada enam tahun penjara dan denda RM50 juta pada Februari 2024.

Pada Disember tahun lalu, Mahkamah Tinggi mengetepikan rayuan Najib untuk menjalani baki hukuman penjaranya di rumah.

 

Must Watch Video

Advertisement