SEPANG: Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis pada bulan lalu.
Mohd Shuhaily, 54, selaku orang kena saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Khairatul Animah Jelani.
"Saya mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan," katanya yang memakai baju kot berwarna biru gelap.
Mengikut pertuduhan, beliau didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis di kaunter terminal 1 KLIA di sini antara jam 1.17 dan 1.30 tengah hari pada 28 Sept lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Shahrizat Ismail, Ahmad Sazali Omar, Nor Azizah Aling dan Nur Aqiilah Ahmad Rofaie.
Dalam kes itu, Mohd Shuhaily diwakili peguam Datuk Rosal Azimin Ahmad, Datuk Yaacob Md Sam, Datuk Dr Baljit Singh Sidhu, Datuk Akberdin Abdul Kader, Datuk Ahmad Zaidi Zainal, Md Yunos Shariff, Muhammad Rafique Rashid Ali dan Kitson Foong.
Pada 28 Sept, tular video memaparkan seorang lelaki yang kelihatan seperti Mohd Shuhaily memarahi seorang individu di KLIA.
Susulan itu, pada 1 Okt, Mohd Shuhaily menyatakan kesediaannya menerima sebarang keputusan atau tindakan.
Pada satu sidang media, beliau berkata, tidak mahu KLIA menjadi seperti Selayang dan mahu lapangan terbang itu bebas daripada kegiatan ‘ulat’ warga asing. - Sinar Harian