Skip to main content

Malaysia

[TERKINI] Nahas helikopter Ulu Baram: Bantuan kewangan, ex-gratia kepada keluarga mangsa nahas FDS

KUALA LUMPUR, 9 Sept - Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pada sidang media khas berhubung insiden helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) Kementerian Kesihatan (KKM) yang terhempas di Long Lellang, Sarawak semalam. Turut sama Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Mahathar Abdul Wahab (kiri) dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Dr Ismuni Bohari. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Dr Dzulkefly (tengah) berkata bantuan berkenaan merupakan antara langkah KKM bagi memastikan kebajikan keluarga dan waris mangsa terbela susulan tragedi berkenaan - Foto BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan menyalurkan sumbangan kewangan serta bantuan 'ex-gratia' kepada keluarga mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Ulu Baram, Sarawak pada Selasa.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, bantuan berkenaan merupakan antara langkah KKM bagi memastikan kebajikan keluarga dan waris mangsa terbela susulan tragedi berkenaan.

Beliau berkata sumbangan kewangan akan disalurkan kepada keluarga mangsa melalui Tabung Kelab Sukan dan Kebajikan Ibu Pejabat KKM (KESKIP), selain bantuan 'ex-gratia' daripada kerajaan.

"Dari sudut kebajikan, sumbangan kewangan kepada keluarga akan disalurkan melalui Tabung Kelab Sukan dan Kebajikan Ibu Pejabat KKM (KESKIP), beserta dengan 'ex-gratia daripada pihak kerajaan," katanya pada sidang media khas berhubung insiden nahas helikopter FDS, di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Mahathar Abd Wahab.

Dr Dzulkefly berkata kebajikan keluarga dan waris mangsa menjadi antara tiga keutamaan mutlak KKM ketika ini, selain memastikan keselamatan petugas kesihatan yang menjalankan FDS serta kesinambungan perkhidmatan kesihatan kepada komuniti di kawasan pedalaman.

Dalam pada itu, beliau berkata pasukan 'Mental Health and Psychosocial Support' (MHPSS) KKM telah digerakkan bagi mendampingi ahli keluarga mangsa menerusi perkhidmatan 'Psychological First Aid' (PFA) dan sokongan emosi secara berterusan.

Katanya, sokongan psikologi turut diberikan kepada pasukan FDS dan komuniti yang terkesan bagi membantu mereka menghadapi kesan pascatrauma susulan insiden berkenaan.

Selain itu, Dr Dzulkefly berkata KKM turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga petugas kesihatan dan kru yang terlibat dalam nahas berkenaan.

Ujarnya, tragedi tersebut disifatkan sebagai ujian berat dan kehilangan yang amat dirasai oleh KKM.

Pada Selasa, helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek Long Lellang, Ulu Baram, kira-kira 929 kilometer dari Kuching.

Lima mangsa dikenal pasti sebagai Kapten Zainol Afriq; pegawai perubatan, Dr Ainul Baroah Kamaruddin; penolong pegawai perubatan, Alexson Adit; serta dua jururawat iaitu Debra Moset serta Jessie Paya.

Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) di bawah Kementerian Pengangkutan akan menyiasat kejadian itu di bawah Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.

 

 

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement