KUALA LUMPUR: Laporan awal berhubung nahas helikopter yang mengorbankan lima nyawa di Long Lellang, Sarawak, dijangka dikeluarkan dalam tempoh 30 hari selepas kejadian, selaras keperluan Lampiran 13 Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).
Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata, laporan penuh pula dijangka dikeluarkan dalam tempoh satu tahun selepas nahas.
Katanya, siasatan dijalankan secara bebas oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) di bawah Kementerian Pengangkutan yang bertanggungjawab menentukan keadaan, faktor penyumbang dan punca nahas.
"Sebarang penemuan berkaitan punca nahas mesti datang daripada AAIB selepas pemeriksaan menyeluruh terhadap bukti berkaitan.
"CAAM memberikan kerjasama penuh kepada AAIB termasuk menyediakan semua dokumen dan rekod berkaitan untuk membantu siasatan.
"Sebarang penemuan yang mengesahkan punca nahas hanya akan dikeluarkan oleh AAIB selepas pemeriksaan menyeluruh terhadap semua bukti selesai dijalankan.
"Pada peringkat ini, adalah terlalu awal untuk membuat sebarang spekulasi sama ada nahas berpunca daripada masalah teknikal, keadaan cuaca, faktor manusia atau faktor lain," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Seminar Keselamatan Penerbangan Malaysia 2026 (MASS'26) di sini pada Khamis.
Dalam kejadian Selasa lalu, helikopter Flying Doctor Service (FDS) jenis BO-105 yang membawa lima individu termasuk empat petugas Kementerian Kesihatan terhempas berhampiran Lapangan Terbang STOL Long Lellang, Sarawak, mengorbankan semua yang berada di dalam pesawat.
CAAM sebelum ini memaklumkan pihaknya menerima pemberitahuan mengenai kejadian itu daripada Perkhidmatan Maklumat Penerbangan (FIS) pada jam 3.58 petang.
Annex 13 Konvensyen Penerbangan Awam Antarabangsa menetapkan piawaian dan amalan disyorkan bagi penyiasatan kemalangan serta insiden penerbangan.
Mengikut ketetapan itu, laporan awal kemalangan perlu dikeluarkan dalam tempoh 30 hari, manakala laporan akhir hendaklah diterbitkan secepat mungkin dan, jika boleh, dalam tempoh 12 bulan.