MALAYSIA

[TERKINI] Panglima Tentera Darat bercuti, beri ruang siasatan SPRM - Menteri Pertahanan

Astro Awani 27/12/2025 | 05:50 MYT
Kementerian Pertahanan berkata Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan akan bercuti berkuat kuasa serta merta. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan akan bercuti berkuat kuasa serta-merta.


Ringkasan AI
  • Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan bercuti berkuat kuasa serta-merta oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, bagi membolehkan siasatan berjalan lancar berkenaan dakwaan yang melibatkan beliau.
  • Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan projek Tentera Darat yang dilaksanakan sejak 2023 hingga kini menumpukan kepada projek melalui tender terbuka dan di bawah Pusat Tanggungjawab (PTJ) Tentera Darat.
  • SPRM mendapati lebih daripada 150 projek perolehan Tentera Darat bernilai melebihi RM500,000 diluluskan dari 2023 hingga 2025, dengan tambahan 4,521 projek bernilai di bawah RM500,000, dan tiga individu dipanggil bagi membantu siasatan lanjut.


Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata langkah tersebut diambil bagi memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap dakwaan tertentu yang telah dilaporkan melibatkan beliau.


“Beliau akan bercuti berkuat kuasa serta merta sehingga selesai siasatan, langkah pentadbiran ini diambil
bagi memastikan proses siasatan berjalan lancar tanpa sebarang konflik kepentingan,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Terdahulu, media melaporkan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah hadir ke Kementerian Pertahanan (MINDEF) pada 23 Disember lalu bagi memulakan siasatan awal terhadap beberapa projek melibatkan Tentera Darat yang dilaksanakan sejak 2023 hingga kini.

Tumpuan siasatan terarah kepada projek-projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab (PTJ) Tentera Darat.

Semakan awal SPRM terhadap rekod perolehan bagi tempoh 2023 hingga 2025 mendapati sebanyak 158 projek perolehan Tentera Darat bernilai melebihi RM500,000 telah diluluskan, manakala perolehan bernilai di bawah RM500,000 pula melibatkan keseluruhan 4,521 projek.

Selain itu, SPRM turut memanggil tiga individu untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan lanjut berhubung perolehan projek-projek tersebut.













#Kementerian Pertahanan #Mohamed Khaled Nordin #tentera darat #SPRM #terkini #Panglima Tentera Darat #Muhammad Hafizuddeain Jantan #bercuti