[TERKINI] Muhyiddin letak jawatan Pengerusi PN. Pimpinan Johor, Selangor, Perak dan Negeri Sembilan ikut langkah sama. Ikuti perkembangan di sini
MALAYSIA

[TERKINI] Penganalisis ekonomi tersohor, Madeline Berma meninggal dunia

Astro Awani 30/12/2025 | 06:32 MYT
Tokoh masyarakat yang terkenal dengan sumbangan luas dalam bidang pendidikan dan pembangunan komuniti itu menghembuskan nafas terakhir pada usia 67 tahun - Foto/AWANI
KUALA LUMPUR: Ahli ekonomi dan akademik tersohor dari Sarawak, Datuk Madeline Berma dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Bandar Baru Bangi, Selangor pada jam 11.30 pagi tadi.

Tokoh masyarakat yang terkenal dengan sumbangan luas dalam bidang pendidikan dan pembangunan komuniti itu menghembuskan nafas terakhir pada usia 67 tahun.

Berita duka mengenai pemergian mendiang turut dikongsi oleh rakan seperjuangannya, termasuk Penganalisis Ekonomi, Profesor Tan Sri Noor Azlan Ghazali di laman Facebook.

"Saya kehilangan seorang sahabat dan sarjana yang memperjuangkan kehidupan insan,khususnya pembasmian kemiskinan.

"Akademia yang menjiwai perjuangannya. Besar sumbangannya kepada negara," tulisnya dalam entri di Facebook sebentar tadi.

Setakat ini, Astro AWANI sedang mendapatkan perincian lanjut mengenai pemergian mendiang.

Beliau merupakan penganalisis politik yang sering berkongsi pendapat yang bernas dan komprehensif dalam pelbagai rancangan-rancangan terbitan saluran TV, Astro AWANI.

Mendiang Madeline memulakan kerjaya beliau sebagai seorang pendidik dan akademik, sebelum beralih kepada peranan kepimpinan dalam beberapa organisasi bukan kerajaan dan jawatankuasa pembangunan sosial.

Mendiang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1982, diikuti dengan Ijazah Sarjana Sastera dari University of Wisconsin-Madison, Amerika Syarikat, pada 1986, dan Ijazah Doktor Falsafah dari University of Hull, England, pada 1997.

Beliau pernah berkhidmat sebagai profesor madya di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UKM hingga 2018, selain pernah memegang jawatan sebagai Pengarah Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim dari 2011 hingga 2016.

Sepanjang kerjayanya, beliau telah menjalankan pelbagai kajian tentang pembangunan ekonomi, khususnya dalam bidang pembangunan kawasan pedalaman, kemiskinan, dan wanita.

Di samping itu, beliau aktif dalam bidang ekonomi dan pembangunan sosial di Malaysia, dengan penekanan khusus pada isu-isu yang berkaitan dengan pembangunan di Sarawak.

Pada 2019, Madeline dilantik sebagai Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)








#Madeline Berma meninggal dunia #Penganalisis ekonomi #penganalisis politik Astro AWANI