[TERKINI] Kapal FFC, Thousand Madleens diserbu Israel, 8 delegasi Malaysia terlibat
MALAYSIA

[TERKINI] Perwakilan diplomatik Malaysia bersedia awal, usahakan proses pembebasan delegasi segera - Wisma Putra

Firdaus Azil 08/10/2025 | 07:34 MYT
Wisma Putra berkata, semua perwakilan diplomatik Malaysia di rantau berkenaan telahpun diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga sepenuhnya dan telah mengambil langkah proaktif bagi menghadapi insiden tersebut.
PUTRAJAYA: Wisma Putra mengesahkan bahawa sembilan warganegara Malaysia adalah antara peserta yang berada di atas kapal misi Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens To Gaza (TMTG) yang diserbu tentera Israel hari ini.


Ringkasan AI
  • Wisma Putra mengesahkan sembilan rakyat Malaysia berada dalam misi kemanusiaan FFC x TMTG yang diserbu tentera Israel, dan menegaskan keselamatan serta kebajikan mereka adalah keutamaan tertinggi kerajaan.
  • Perwakilan diplomatik Malaysia di rantau terlibat telah bersiap siaga dan menjalankan penyelarasan dengan pihak berkuasa serta kerajaan berkaitan bagi memastikan pembebasan segera dan selamat semua peserta yang ditahan.
  • Malaysia mengecam tindakan Israel sebagai pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa dan menyeru pembebasan serta-merta semua peserta flotilla tanpa syarat, sambil menegaskan komitmen terhadap perjuangan kemanusiaan di Gaza.


Dalam satu kenyataan pada Rabu, Kementerian berkata, keselamatan dan kebajikan semua rakyat Malaysia kekal menjadi keutamaan tertinggi Kerajaan.

Sebagai langkah persediaan lebih awal, semua perwakilan diplomatik Malaysia di rantau berkenaan telahpun diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga sepenuhnya dan telah mengambil langkah proaktif bagi menghadapi insiden tersebut, termasuk melaksanakan penyelarasan rapi dengan pihak berkuasa serta kerajaan negara yang berkaitan.

“Perwakilan-perwakilan ini kini giat melaksanakan usaha untuk memastikan pembebasan segera dan selamat semua peserta yang ditahan serta memastikan kebajikan mereka sentiasa terjamin.

“Malaysia berdiri teguh menyatakan solidariti penuh bersama rakyat Palestin dan menegaskan komitmen tidak berbelah bahagi untuk terus menyokong segala usaha antarabangsa bagi menamatkan bencana kemanusiaan di Gaza serta mencapai keamanan yang adil, menyeluruh dan berkekalan di rantau tersebut,” menurut kenyataan itu lagi.

Terdahulu Astro AWANI melaporkan, wartawannya, Syafik Shukri Abdul Jalil, adalah antara delegasi misi kemanusiaan FFC x TMTG yang diserbu tentera Israel di perairan antarabangsa pada jam 10.05 Rabu.

Tujuh delegasi Malaysia yang menaiki Kapal Conscience milik FFC adalah ketua misi, Prof Emeritus Mohd Alauddin Mohd Ali, Dr Fauziah Hassan, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi, dua pensyarah iaitu Prof Mohd Afandi Salleh dan Dr Noorhasyimah Ismail serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Norsham Abu Bakar.

Manakala Dr Maziah Muhammad menaiki kapal UMM Saad.

Dalam pada itu Wisma Putra menegaskan, tindakan pemintasan dan serangan oleh rejim Zionis Israel jelas merupakan pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa.

Pelanggaran itu termasuk undang-undang maritim antarabangsa, undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta undang-undang hak asasi manusia antarabangsa.

“Malaysia menyeru agar semua peserta flotilla dibebaskan serta-merta dan tanpa syarat, serta menuntut agar Israel menghormati hak mereka sebagai sukarelawan kemanusiaan dan memastikan keselamatan serta maruah mereka terpelihara pada setiap masa,” menurut kenyataan itu lagi.




#Freedom Flotilla Coalition #Wisma Putra #flotilla Conscience #Kapal Conscience