Skip to main content

Malaysia

[TERKINI] PM larang penjawat awam guna Waze

Kerajaan melarang semua anggota perkhidmatan awam menggunakan aplikasi navigasi Waze berkuat kuasa serta-merta, susulan kebimbangan terhadap keselamatan maklumat kerajaan dan data pergerakan pengguna. - Gambar fail/hiasan
Kerajaan melarang semua anggota perkhidmatan awam menggunakan aplikasi navigasi Waze berkuat kuasa serta-merta, susulan kebimbangan terhadap keselamatan maklumat kerajaan dan data pergerakan pengguna. - Gambar fail/hiasan

Advertisement

Ringkasan AI

  • Kerajaan melarang semua anggota perkhidmatan awam menggunakan aplikasi Waze berkuat kuasa serta-merta atas kebimbangan keselamatan maklumat dan data pergerakan pengguna.
  • Arahan dikeluarkan Ketua Setiausaha Negara selepas keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
  • Kerajaan menggesa penggunaan aplikasi navigasi tempatan seperti TuJu dan menegaskan keutamaan terhadap keselamatan data serta kedaulatan negara.

KUALA LUMPUR: Kerajaan melarang semua anggota perkhidmatan awam menggunakan aplikasi navigasi Waze berkuat kuasa serta-merta, susulan kebimbangan terhadap keselamatan maklumat kerajaan dan data pergerakan pengguna.

Arahan itu dimaklumkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, menerusi surat bertarikh 20 Oktober, susulan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) Bilangan 3 Tahun 2026 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi surat berkenaan, semua ketua setiausaha kementerian, ketua jabatan Persekutuan, pengurusan badan berkanun Persekutuan, setiausaha kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan diminta memastikan arahan itu dimaklumkan kepada pegawai di bawah seliaan masing-masing untuk pelaksanaan segera.

Keputusan itu mengambil kira kedudukan Waze Mobile Ltd. sebagai syarikat yang diperbadankan dan beroperasi di bawah undang-undang Israel, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai perlindungan maklumat dan data pergerakan pengguna.

Sebelum ini, Anwar menyarankan rakyat Malaysia turut berhenti menggunakan Waze dan beralih kepada aplikasi navigasi tempatan, TuJu, yang dibangunkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), sebagai alternatif bagi keperluan perjalanan di jalan raya.

Menurut Perdana Menteri, keselamatan maklumat dan data peribadi rakyat perlu diberi keutamaan bagi mengelakkan sebarang risiko yang boleh menjejaskan keselamatan serta kedaulatan negara.

Beliau menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan data dan identiti rakyat, selain akan terus memperkukuh kesiapsiagaan negara dalam menghadapi ancaman siber.

Sebarang pertanyaan atau permohonan penjelasan lanjut mengenai pelaksanaan arahan itu boleh dikemukakan kepada Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), agensi penyelaras di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Must Watch Video

Advertisement